Home » Langit Terbuka » Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 berlangsung 4 Oktober ini

Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 berlangsung 4 Oktober ini

Pencarian global telah dibuka pada bulan Disember 2021 dan sejumlah 49 cadangan diterima untuk 37 calon daripada 14 negara : Bank Negara Malaysia. - Foto Arkib

KUALA LUMPUR – Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan berlangsung pada 4 Oktober 2022 di sini.

Anugerah Diraja merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada individu berwawasan dalam bidang kewangan Islam yang telah memberikan sumbangan yang besar dari segi pencapaian dan inovasi terhadap perkembangan kewangan Islam, ekonomi global dan kemajuan sosial masyarakat di seluruh dunia.

Pencarian global telah dibuka pada bulan Disember 2021 dan sejumlah 49 cadangan diterima untuk 37 calon daripada 14 negara, kata BNM.

Calon-calon Anugerah Diraja ini antaranya terdiri daripada pengamal kewangan Islam yang terkenal, cendekiawan Syariah dan ahli akademik.

Pemenang tahun ini bakal dinobatkan sebagai penerima keenam Anugerah Diraja.

Anugerah berprestij dwitahunan ini diperkenalkan pada tahun 2010 bagi menyokong Malaysia sebagai peneraju pusat kewangan islam antarabangsa yang komprehensif dan sofistikated.

Pemenang Anugerah Diraja dipilih oleh tujuh juri bebas antarabangsa yang dipengerusikan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Para juri terdiri daripada cendekiawan Syariah, ahli akademik dan peneraju industri kewangan Islam terkemuka.

Katanya, proses penilaian adalah berdasarkan satu set kriteria pemilihan yang ditetapkan, merangkumi sumbangan yang memacu dan menyokong pertumbuhan kewangan Islam, merintis inovasi, memperluas sempadan ilmu pengetahuan dan mempamerkan ciri-ciri kepimpinan cemerlang di samping mempunyai pengaruh yang besar.

Selain Anugerah Diraja tersebut, dua kategori anugerah baharu turut diperkenalkan pada tahun ini iaitu Anugerah Pemimpin Baharu dan Anugerah Cabaran Berimpak yang akan disampaikan dalam sebuah majlis berasingan.

Anugerah Pemimpin Baharu mengiktiraf bakat muda antarabangsa yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam memajukan idea-idea inovatif dalam bidang kewangan Islam.

Untuk anugerah ini, Jawatankuasa Penganjur telah menerima sebanyak 18 cadangan bagi 14 calon dari 8 negara. Pemenang anugerah ini ditentukan oleh panel antarabangsa Jawatankuasa Pemilihan, yang terdiri daripada ahli akademik dan penggiat industri yang dihormati.

Sementara itu, Anugerah Cabaran Berimpak mengiktiraf penyelesaian digital dan inovatif berdasarkan prinsip kewangan Islam atau penggerak kewangan Islam, yang bertujuan untuk meningkatkan daya tahan ekonomi dan sosial masyarakat yang terjejas dari segi kewangan di seluruh dunia.

Anugerah ini merupakan kerjasama dengan The World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub di Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation.

Penerima anugerah ini dinilai berdasarkan empat kriteria, iaitu inovasi, impak, daya maju komersial dan kebolehskalaan.

Pihak penganjur telah menerima 50 permohonan dari 14 negara untuk Anugerah Cabaran Berimpak. Mereka yang memenuhi kriteria telah disenarai pendek untuk menyertai Program Penggalak.

Pada akhir program tersebut, peserta membentangkan penyelesaian inovatif mereka kepada panel hakim yang terdiri daripada wakil pengurusan kanan dari BNM dan SC, Bank Pembangunan Islam (IsDB), World Bank Group dan industri modal teroka.

Anugerah Pemimpin Baharu dan Anugerah Cabaran Berimpak akan disampaikan semasa Forum Kewangan Islam Global 2022 (GIFF 2022) pada 5 Oktober 2022 di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Tingkat kualiti pendakwaan syarie

SHAH ALAM – Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) berupaya meningkatkan kualiti pendakwaan dan menyeragamkan proses penggubalan undang-undang syariah di negara ini.

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *