Home » Langit Terbuka » Angka korban konflik Gaza-Israel meningkat

Angka korban konflik Gaza-Israel meningkat

Pemuda Palestine membakar tayar menyebabkan asap hitam tebal di kawasan sempadan Gaza- Israel. Foto : AP

SEMENANJUNG GAZA – Lapan rakyat Palestin menemui ajal di hujung senjata tentera Zionis ketika protes di sempadan Gaza-Israel semalam lapor pegawai Kementerian Kesihatan Palestin.

Tentera rejim mendakwa tembakan dilepaskan ke arah penunjuk perasaan yang cuba untuk menyusup masuk ke kawasan mereka.

Angka kematian kini meningkat kepada 24 setelah pertempuran berdarah minggu lalu yang meragut 16 nyawa dan mencederakan beratus yang lain akibat terkena tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata.

Ribuan rakyat Palestine termasuk wanita dan kanak-kanak menyertai protes besar-besaran selama enam minggu di lima lokasi berbeza sepanjang sempadan Gaza-Israel bagi menuntut hak untuk kembali ke tanah air yang dirampas Israel pada 1948.

“Israel merampas segalanya daripada kami, tanah air kami, kebebasan dan masa depan kami,” kata seorang penunjuk perasaan kepada Reuters.

Ketegangan tercetus apabila pihak rejim melepaskan tembakan dan gas pemedih mata terhadap kumpulan penunjuk perasaan yang membakar tayar dan membaling batu ke arah tentera Zionis yang berkawal di pagar sempadan.

“Tentera kami menggunakan kaedah menyuraikan rusuhan dan melepaskan tembakan mengikut peraturan pertempuran,” kata pegawai tentera rejim.

Kenyataan tersebut bagaimanapun disangkal seorang jurucakap hak asasi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkata di bawah undang-undang antarabangsa, penggunaan senjata api hanya dibenarkan sebagai langkah akhir ketika situasi yang sangat mendesak dan mengancam nyawa serta boleh mendatangkan kecederaan serius.

Sementara itu, Amerika Syarikat yang juga sekutu kuat rejim Israel menyalahkan pemimpin Palestin kerana menyokong keganasan serta menghantar penunjuk perasaan termasuk kanak-kanak ke sempadan walau sedar akan risiko kecederaan ataupun kematian. – BBC

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *