Home » Langit Terbuka » Kerajaan akan buka Universiti al-Quran

Kerajaan akan buka Universiti al-Quran

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Penubuhan sebuah Universiti al-Quran untuk melahirkan lebih ramai graduan hufaz turut dimasukkan sebagai janji kerajaan dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menerusi universiti itu, graduan hufaz yang dilahirkan bukan setakat mempunyai kepakaran menghafal al-Quran tetapi juga lengkap dengan kepakaran dalam bidang profesional yang lain.

Selain itu, BN juga menyasarkan untuk melahirkan 125,000 hufaz yang mempunyai kelayakan dalam bidang profesional seperti sains, matematik dan kejuruteraan manakala sekolah tahfiz akan dilengkapkan dengan sistem latihan kemahiran GiatMARA.

Menerusi manifesto itu, BN menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dipelihara tanpa menjejaskan hak dan kebebasan agama lain untuk terus dianuti dan dilindungi oleh kerajaan.

Ini kerana BN adalah sebuah perikatan politik yang meraikan kepelbagaian kaum, etnik dan agama.

Namun, asas pembentukan negara yang memberi tempat istimewa kepada Bumiputera dan orang Islam, akan terus diperkasa tanpa menzalimi kaum-kaum lain.

Kepentingan Bumiputera jelas termaktub dalam perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Masyarakat Bumiputera kini mewakili seramai 68.6 peratus daripada keseluruhan 31.7 juta rakyat Malaysia.

Berdasarkan unjuran, jumlah itu akan mencecah 69. 1 peratus menjelang 2020 dan 70.7 peratus pada 2030.

Justeru, dalam tempoh lima tahun akan datang, BN bertekad untuk meneruskan usaha ini dengan pelaksanaan beberapa perkara.

Antaranya ialah:

  1. Meneruskan agenda Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 bagi memastikan Bumiputera terus memainkan peranan signifikan dalam pembangunan ekonomi negara.
  2. Memastikan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia, yang mana Bumiputera menjadi penggerak utama industri.
  3. Menubuhkan jawatankuasa menyelia keharmonian Mahkmah Syariah dan Sivil serta menubuhkan jawatankuasa untuk memperkasa Mahkamah Syariah.
  4. Memperkenalkan perjanjian jual beli patuh syariah dengan meminda jadual H dan G, Akta 118 Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan). Ini akan menambahbaik sistem perbankan Islam sedia ada.
  5. Menstruktur semula bantuan untuk Orang Asli melalui pembinaan prasarana supaya kualiti hidup mereka bertambah baik.
  6. Meningkatkan kualiti pengurusan ibadah haji dan umrah serta kebajikan jemaah.
  7. Mempertingkatkan peranan masjid sebagai pusat aktiviti komuniti Islam melalui program Transformasi Masjid.

Mereka yang terbabit akan diberi latihan dan menerima kenaikan elaun. Di samping itu, jumlah surau akan ditambah bagi kebenaran mengadakan solat Jumaat.

  1. Mewujudkan dana khas untuk menaik taraf pendidikan dan peraturan keselamatan sekolah agama supaya memenuhi piawaian kebangsaan.
  2. Meningkatkan kualiti dan kepakaran pentadbiran Islam seperti imam, guru KAFA dan takmir, guru agama, pegawai syariah, Hakim Mahkamah Syariah di Akademi Latihan Islamik Malaysia (ALIM) dan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia.
  3. Menyediakan Kursus Latihan Intensif Bahasa Arab untuk membantu pemegang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) lulus peperiksaan Imtihan Qabul, yang menjadi syarat utama kelayakan pendidikan tinggi di negara Arab.
  4. Meneruskan usaha menyokong kemerdekaan negara Palestin dan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara rasmi. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *