Home » Analitis » Arak – Penguatkuasaan Undang-Undang dan Pendidikan

Arak – Penguatkuasaan Undang-Undang dan Pendidikan

Hampir setiap minggu kita dihidangkan dengan sekurang-kurangnya 1 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk. Menurut statistik rasmi PDRM, sepanjang lima bulan pertama tahun ini sebanyak 21 kes membabitkan pemandu mabuk dicatatkan yang mana lapan mangsa meninggal dunia.

Majoriti mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk ialah mereka-mereka yang bukan dari kalangan peminum minuman beralkohol. Kebanyakannya ialah individu-indvidu yang dalam perjalanan ke tempat kerja, sedang melakukan tugas dan menjadi mangsa kecuaian pemandu lain yang memandu dalam keadaan mabuk.

Terbaru, seorang pekerja khidmat penghantaran makanan meninggal dunia selepas motorsikal dipandunya dilanggar dari belakang mengakibatkan beliau tercampak dan meninggal serta-merta manakala motorsikalnya diseret sehingga lebih dari 2 kilometer oleh pemandu mabuk.

Tidak dapat tidak, apabila timbul isu pemandu mabuk ia sama sekali mengheret kepada isu perkauman dan agama walaupun pada hakikatnya isu mabuk ialah isu kecuaian individu yang kebetulan berlainan bangsa dan agama antara pelaku kesalahan dan juga mangsa.

Sejak zaman dahulu hingga ke hari ini umum mengetahui bahawa arak tidak langsung membawa apa-apa kebaikan kepada peminumnya melainkan mudharat. Antara kesan buruk akibat arak ialah sepertimana yang kita hadapi sekarang iaitu kemalangan yang mengakibatkan kecederaaan dan kematian.

Selain itu institusi kekeluargaan juga banyak yang runtuh akibat arak. Banyak juga kes penderaan fizikal dan seksual dilaporkan sejak sekian lama akibat dari arak. Ada anak dan isteri yang tidak berdosa didera ketika suami berada dalam keadaan mabuk malah ada juga dilaporkan kes bayi yang tidak berdosa dirogol atau diliwat oleh pemabuk.

Lebih dari itu banyak juga berlaku kes-kes sumbang mahram, pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian, hutang dengan along atau ceti haram dan pelbagai lagi perkara-perkara negatif yang diakibatkan hasil dari pengambilan arak.

Seperti juga yang berlaku dizaman sekarang, perkara sebegini juga pernah berlaku dizaman Nabi dahulu. Kesan dari pengambilan arak tetap tidak berubah dari negatif kepada positif walaupun zaman telah beredar dari zaman jahiliah kepada zaman millenium.

Mengharamkan arak secara total di Malaysia adalah 1 perkara mustahil. Hatta ketika zaman Nabi dahulupun arak tidaklah diharamkan secara total sebaliknya larangan pengharaman arak diturunkan secara berperingkat.

Bangsa pertama yang meninggalkan arak ialah bangsa Arab Quraisy selepas mereka mula sedar tentang bahaya arak kepada akal fikiran dan masyarakat umum.

Suatu ketika ‘Umar al-Khattab bertanya kepada Nabi tentang hukum minuman yang memabukkan itu, “ Ya Rasullah, berikan penjelasan kepada kami tentang arak dengan penjelasan yang memuaskan kerana ia melenyapkan harta dan fikiran.”

‘Umar al-Khattab bertanya beberapa kali kepada Baginda, “Ya Rasullah, sudilah kamu menerangkan kepada kami tentang arak dan judi kerana kedua-duanya itu melenyapkan fikiran dan harta!”

Ketika ‘Umar bertanya, Nabi belum lagi dapat menjawabnya. Maka ketika itu turunlah wahyu kepada beliau (Rasulullah saw) iaitu Surah Al-Baqarah, Ayat 219. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir:”

Ayat diatas menjelaskan, perbezaan antara baik dan buruk arak selain dosa arak adalah lebih besar daripada manfaatnya.

Ayat peringatan dan larangan meminum arak ini diturunkan selepas berlaku pergaduhan antara kaum Ansar dan Muhajirin akibat dari minuman arak.

Peringatan yang jelas ini diturunkan dalam Al-Qur’an (Surah Al-Ma’idah 5: Ayat 91) Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Selepas turunnya ayat diatas, kaum muslimin lalu berhenti meminum arak dan menjauhinya. Segala minuman yang memabukkan terutama khamar, terus dibuang dari rumah mereka.

Apabila disebut sebagai “budaya”, ia perlu ditangani dengan sangat berhati-hati. Bukan mudah hendak membuang sesuatu yang telah menjadi budaya dalam satu-satu masyarakat terutama apabila melibatkan golongan yang sudah berumur kerana ia telah sebati dengan kehidupan mereka dan diturunkan kepada generasi seterusnya.

Dalam hal ini, penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah yang berpunca dari arak sebaliknya pendidikan tentang bahaya arak juga perlu dititik beratkan. Dalam apa juga masalah, menjatuhkan hukuman hanya dapat memberi kesan atau pengajaran kepada pelaku kesalahan sahaja tetapi kesan kesedaran kepada masyarakat umum secara realitinya hanya berlaku dalam skala yang kecil lebih-lebih lagi jika hukumannya sekadar denda atau penjara.

Dalam Islam juga kita ditekankan dengan didikan sebelum datangnya hukuman. Sesuai dengan turunnya ayat pertama iaitu “Iqra. Allah tidak menurunkan ayat-ayat yang menjelaskan perkara-perkara berkaitan dosa atau hukuman sebaliknya kita diajar dengan ayat-ayat yang mendidik, menambah ilmu pengetahuan, kebaikan-kebaikan, kesedaran-kesedaran kearah menjadi Insan yang berguna, beriman, beramal soleh sebelum diperingatkan dengan hukuman-hukuman akibat perbuatan-perbuatan tidak baik.

Sudah sampai masanya kita menumpukan usaha bukan sahaja pada Pindaan Undang-Undang Mandatori yang lebih ketat terhadap pemabuk tetapi juga memberi kesedaran tentang bahaya arak, kesan-kesan buruk, perkara-perkara negatif akibat pengambilan arak kepada semua masyarakat tidak kira apa bangsa dan agama mereka.

Lebih penting, kita tidak mahu lagi dihidangkan dengan laporan-laporan berita mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa pemandu mabuk atau peminum arak akibat dari kurangnya pendidikan dan kesedaran dalam diri sendiri dan juga orang sekeliling.

Perkara ini perlu diambil bahagian oleh semua masyarakat sekeliling. Mungkin akan ada dikalangan sahabat-sahabat kita yang bukan beragama Islam yang kita tahu sudah biasa atau terikat dengan “budaya” masing-masing tetapi kita mampu mengubahnya dengan saling memberi peringatan dan kesedaran kepada mereka.

Jangan takut untuk memberi teguran kerana kita tidak tahu siapa mangsa seterusnya akibat kecuaian pemandu mabuk atau peminum arak. Jangan kelak kita yang menyesal bila ada ahli keluarga kita menjadi mangsa kecuaian peminum arak yang kita kenal tetapi tidak pernah kita tegur atau nasihat kerana perbezaan bangsa dan agama.

Undang-undang hanyalah jalan terakhir dalam menyelesaikan masalah. Mencegah adalah lebih baik dari mengubat.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *