Home » Langit Terbuka » Bahrain mahu Malaysia jadi hab pasaran

Bahrain mahu Malaysia jadi hab pasaran

Bahrain berhasrat mengadakan kerjasama dengan Kuala Lumpur untuk membangunkan industri halal dunia, kata Menteri Menteri Pembangunan Usahawan. - Foto Era Baru.com

KUALA LUMPUR – Bahrain menyuarakan kesediaannya menjadikan Malaysia sebagai hab pasaran produk-produk halal keluaran usahawan dari negara itu dan negara-negara Teluk ke rantau Asia dan China.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Putera Khalifa Salman Al Khalifa dalam perbincangan dengan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Mohd. Yusof di pejabat Khalifa di Manama semalam.

“Manama berhasrat menyertai kerjasama dengan Kuala Lumpur dalam membangunkan industri halal dunia,” kata Redzuan kepada Utusan Online, menerusi aplikasi WhatsApp pagi ini.

Redzuan berada di negara Teluk itu sejak 14 April lalu mewakili Malaysia menghadiri Mesyuarat Menteri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu anjuran Bank Dunia dan Kongres Keusahawanan Global (GEN).

Beliau yang mengakhiri lawatan kerjanya ke Bahrain, dijadual tiba di Sarajevo, Bosnia dan Herzegovina hari ini untuk menyambung satu lagi lawatan kerja sehingga 21 April.

Redzuan berkata, dalam pertemuan dengan Putera Khalifa yang turut disertai Menteri Industri, Perdagangan dan Pelancongan Bahrain, Zayed Rashid Al Zayani, Perdana Menteri itu turut menyuarakan hasrat untuk menyambung semula fungsi Bahrain sebagai hab pasaran kereta nasional Malaysia ke negara-negara Teluk sama ada Proton ataupun kereta nasional baharu melalui platform perniagaan ke perniagaan (B2B).

“Pada masa sama, Manama mahu menerokai secara am peluang-peluang pelaburan di Malaysia.

“Bahrain juga berhasrat mengadakan penerbangan terus Gulf Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bahrain dan bekerjasama dengan Malaysia Airlines untuk destinasi-destinasi Gulf Air,” kata beliau.

Dalam pertemuan sejam itu, Redzuan berkata, Putera Khalifa turut mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana berjaya menukar kerajaan, sekali gus mengembalikan kegemilangan Malaysia seperti mana Perdana Menteri telah membangunkan negara semasa pentadbiran 22 tahunnya sebelum ini.

“Putera Khalifa menaruh keyakinan Dr. Mahathir mampu mengembalikan semula kehebatan Malaysia.

“Sebagai sahabat akrab kepada Dr. Mahathir, beliau berhasrat untuk mengadakan kunjungan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat. Hasrat itu menurut beliau telah dikemukakan kepada Wisma Putra,” kata Redzuan. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *