Home » Langit Terbuka » Bakal jemaah berdepan suhu panas 50 Celsius ketika musim haji

Bakal jemaah berdepan suhu panas 50 Celsius ketika musim haji

Jangan ambil mudah dengan keadaan suhu di Arab Saudi, banyakkan minum air dan laporkan segera jika kesihatan terjejas. - Foto Arkib

Jakarta – Menteri Agama Indonesia, Yaqut Kholil Qoumas menjangkakan musim panas di Arab Saudi ketika musim haji pada Julai ini boleh menyebabkan suhu mencecah 50 darjah Celsius.

Katanya, suhu di negara itu ketika ini antara 40 hingga 44 Celsius dan beliau dimaklumkan, suhu tersebut belum tiba kemuncaknya.

“Saya dimaklumkan, ketika musim haji berlangsung, suhu panas boleh mencecah 50 Celsius.

“Sehubungan itu, semua jemaah perlu bersedia dengan suhu panas ini, termasuk menjaga pemakanan dan kesihatan yang maksimum.

“Kita tidak mahu jemaah jatuh sakit akibat suhu yang tinggi, maka persiapan perlu dilakukan dari sekarang,” katanya seperti yang dilapor CNN Indonesia.

Selain itu, Yaqut juga mengingatkan para jemaah supaya dapat membiasakan diri dengan persekitaran di tanah suci supaya dapat menunaikan ibadah haji dengan lancar sehingga selesai.

Beliau juga memberitahu bahawa semua kemudahan untuk para jemaah seperti pengangkutan, penginapan dan penyediaan makanan sudah diselesaikan.

“Semua persiapan sudah selesai, hanya menunggu ketibaan jemaah bagi menunaikan haji.

“Jangan ambil mudah dengan keadaan suhu di Arab Saudi, banyakkan minum air dan laporkan segera jika kesihatan terjejas,” ujarnya.

Lebih 93,000 bakal jemaah akan berangkat ke tanah suci bagi menunaikan ibadah haji bermula Jun ini.

Kumpulan jemaah pertama akan berlepas ke tanah suci pada 4 Jun 2022 dan mendarat di Lapangan Terbang Madinah, manakala kumpulan jemaah terakhir berlepas pada 3 Julai ini dengan mendarat di Lapangan Terbang Jeddah.

Menurut Pengarah Perkhidmatan Haji Dalam Negeri di Kementerian Agama, Saiful Mujab berkata, proses penghantaran jemaah haji akan berlangsung dalam masa 30 hari secara berperingkat.

Katanya, proses pulang dari tanah suci juga akan mengambil tempoh yang sama dengan kumpulan pertama dijangka tiba di tanah air pada 15 Julai ini.

“Kumpulan jemaah terakhir yang akan tiba di tanah air dijangka pada 13 Ogos 2022,” katanya seperti yang dilapor Tribunnews.

Terdahulu, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji Indonesia bagi tahun ini seramai 100,051 orang. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *