Home » Langit Terbuka » Bakal jemaah haji jangan percaya maklumat dalam WhatsApp

Bakal jemaah haji jangan percaya maklumat dalam WhatsApp

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meminta orang ramai tidak menularkan berita yang tidak betul berhubung jemaah haji atau Tabung Haji kerana ia akan menimbulkan pelbagai keraguan dan kesangsian terhadap kerajaan dan agensi berkenaan. - Foto Malay Mail

IPOH – Bakal jemaah haji jangan mudah percaya terhadap sebarang maklumat yang disebarkan melalui media sosial khususnya yang diterima dalam WhatsApp sebaliknya hanya mendapatkan maklumat rasmi daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata pada masa sama orang ramai diminta tidak menularkan berita yang tidak betul berhubung jemaah haji atau TH kerana ia akan menimbulkan pelbagai keraguan dan kesangsian terhadap kerajaan dan agensi berkenaan.

“Lebih penting (tidak mahu) ada orang ambil kesempatan dan panjangkan kisah ini kononnya kerajaan hari ini tidak prihatin dengan Islam, mansuhkan subsidi (haji) tidak kira orang susah…bagi saya ini lebih kepada politik daripada betul-betul nak tolong orang susah (menerusi penyebaran maklumat palsu itu).

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Taman Tasek Jaya di sini.

Sebelum ini, timbul isu tiada subsidi kepada pengiring jemaah haji susulan jawapan daripada pentadbir akaun Facebook TH baru-baru ini ketika menjawab komen seorang pengguna laman sosial itu dalam satu hantaran berkata, subsidi haji hanya diberikan kepada bakal jemaah yang terpilih bagi tahun semasa.

Mujahid dilaporkan berkata, TH akan mempertimbangkan kadar kemampuan bagi pengiring dan jemaah yang berjaya dalam rayuan mereka untuk menunaikan fardu haji daripada membayar kos penuh tanpa subsidi.

Beliau dilaporkan berkata, setakat ini TH dan kerajaan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dasar baharu tanpa subsidi bagi jemaah haji yang berjaya dalam rayuan, mahupun individu yang mengiringi mahram bagi menunaikan ibadah itu lebih awal daripada tahun peruntukan.

Mujahid berkata, belum ada sebarang keputusan muktamad berhubung perkara itu setakat ini kerana proses untuk mengeluarkan surat kepada mereka yang terpilih menunaikan haji pada tahun ini belum selesai sepenuhnya.

“Kebiasaannya akan ada antara 1,000 hingga 2,000 orang yang tidak akan pergi walaupun sudah ditawarkan (menunaikan haji tahun ini), kadang-kadang lebih, daripada (kekosongan) situ baru rayuan dibuka, bila tiba fasa rayuan, baru kita tengok (sama ada diberi subsidi atau tidak) berdasarkan kes, jadi tidak timbul isu kita potong subsidi (haji).

“(Oleh itu) jangan mudah percaya (maklumat dalam media sosial), percaya kepada kami dan jangan percaya kepada WhatsApp. Semalam saya sudah berhubung dengan pegawai TH tapi bukan secara rasmi dan akan mengadakan pertemuan dengan TH pada Isnin ini (esok) untuk berbincang mengenai perkara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *