Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diteliti setelah beliau mendapat penjelasan daripada menteri berkenaan.

“Itulah, saya nak teliti, sebab saya belum lagi dapat perincian. Saya nak dapatkan (perincian) dahulu daripada menteri agama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Wangsa Maju di sini hari ini.

Sebelum ini, tular satu kenyataan mendakwa individu yang merayu atau pengiring mahram ke Tanah Suci tidak layak mendapat subsidi haji seperti sebelum ini sebagaimana satu jawapan di Facebook Lembaga Tabung Haji (TH).

Semalam, Mujahid berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung penghapusan subsidi kos mengerjakan haji bagi bakal jemaah yang pergi atas tiket rayuan atau sebagai pengiring mahram.

Sebaliknya, kata beliau, perkara itu adalah atas budi bicara TH yang akan membuat pertimbangan berdasarkan kemampuan individu terbabit. – Bernama