Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Datuk Dr Azmi Omar berkata, sebahagian besar penduduk Malaysia kini terdiri daripada generasi millennial.

“Menangani millennial ini penting kerana mereka menggunakan aplikasi digital. Oleh itu, bank-bank Islam mesti bijak, sama ada mereka mewujudkan sebuah anak syarikat, bank maya, atau menawarkan lebih banyak perkhidmatan menggunakan aplikasi maya,” katanya kepada Bernama di luar Astana Finance Day 2019.

Azmi mengulas soalan mengenai bagaimana bank maya dapat memberi manfaat kepada perbankan Islam di Malaysia, selari dengan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan menyediakan keperluan untuk pelesenan maya menjelang akhir tahun.

“Bank-bank Islam Maya akan menarik golongan millennial. (namum) tidak semua orang akan menggunakan perbankan digital. Ia merupakan alternatif. Anda boleh melancarkan (operasi) ke negara-negara lain berasaskan skala ekonomi anda,” katanya.

Mac lepas, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata bank pusat itu menjalankan perbincangan awal dengan beberapa bank serta bersama bank-bank maya di luar negara.

Moody’s dalam laporan penuhnya mengenai Perbankan Islam di Malaysia dan Indonesia, menyatakan bahawa Malaysia merancang mengeluarkan lesen baharu perbankan maya menjelang akhir 2019. Ini boleh meningkatkan persaingan untuk deposit, terutama dalam kalangan bank Islam, dengan francais deposit yang lemah. – Utusan Malaysia