Bantu anak anak mangsa perceraian, jihad ekonomi antara cadangan wanita Sabah untuk MAWAR

0
331

KOTA KINABALU – Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dicadangkan untuk memfokuskan ke arah membantu anak anak mangsa perceraian dan program menjana ekonomi wanita Islam di negeri ini.

Demikian antara cadangan yang diberikan kepada MAWAR dalam program Majlis Tautan MAWAR YADIM Bersama NGO Wanita Islam Sabah yang diadakan di sini pada 24 November.

Majlis berkenaan merupakan anjuran Bahagian NGO YADIM dan YADIM Sabah bertujuan menghimpunkan kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) wanita Islam di negeri ini bagi bertukar pandangan dan beramah mesra merapatkan silaturrahim.

- advertisement -

Sebanyak 25 NGO Wanita Islam Sabah hadir ke program ini. Antaranya ialah Puspanita, Rumah Ngaji, Putri Islam Malaysia, Hidayah Centre,  Persatuan Cina Muslim, Perkumpulan Perempuan Sabah dan banyak lagi.

Pengerusi MAWAR YADIM, Dr Hafidzah Mustakim hadir sama bagi mendengar sendiri cadangan dan pandangan yang disampaikan oleh wakil wakil NGO wanita Sabah yang menyertai majlis ini. Turut serta ialah Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki dan Pengarah Bahagian NGO YADIM, Mohd Fitri Aziz Yusuf.

Dalam pada itu, cadangan membantu anak anak mangsa perceraian di Sabah ditimbulkan kerana kurangnya usaha menyantuni golongan tersebut, khususnya mangsa hasil dari perkahwinan campur.

Dengan kepelbagaian kaum yang ada di negeri ini, sudah tentu berlaku perkara sedemikian dan MAWAR YADIM diharap dapat berbuat sesuatu bagi membantu menangani perkara ini.

Program program menjana ekonomi pula dilihat amat penting bagi membantu wanita Islam di negeri ini mempunyai kekuatan kewangan, lebih lebih lagi bagi mereka yang berstatus ibu tunggal.

Wakil wakil NGO wanita Islam di negeri ini melihat ianya boleh dicapai antaranya dengan mewujudkan koperasi bagi tujuan tersebut.

Hafidzah menyambut positif cadangan cadangan yang diberikan kepada pihaknya, selain mengalu alukan sebarang hasrat untuk mengadakan kerjasama dengan MAWAR YADIM.

Menurutnya, cadangan kerjasama boleh disampaikan dengan menghantar kertas kerja dan penerangan program kepda pihaknya menerusi YADIM Sabah.