Home » Langit Terbuka » Bantuan zakat fitrah ukir senyuman golongan asnaf

Bantuan zakat fitrah ukir senyuman golongan asnaf

KUALA LUMPUR 23 Mei – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan bantuan sebanyak RM18.8 juta kepada golongan asnaf, fakir, miskin dan ar-riqab sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Pegawai Operasi Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM11,454,800 disumbangkan kepada 23,500 penerima bagi bantuan Hari Raya sementara sejumlah RM313,200 merupakan agihan berbuka puasa kepada 1,350 penerima setiap hari.

Katanya, bantuan kewangan bulanan yang melibatkan jumlah sebanyak RM7 juta diperuntukkan MAIWP bagi membantu meringankan beban kira-kira 23,500 penerima.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pembayar kerana dengan bayaran itu membuatkan kita menjadi kuat dan dapat membantu golongan sasaran seperti asnaf. Mengikut data, agihan bantuan zakat PPZ-MAIWP sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri kita gunakan sebanyak RM18,768,000.

“Sumbangan ini mampu membuatkan asnaf tersenyum, seronok pada Ramadan dan Hari Rayaa ini. Bukanlah kata apabila kita bantu asnaf mereka jadi kaya raya tetapi sekurang-kurangnya mereka mampu mengukir senyuman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Sembang Online bertajuk ‘Ramadan Dinanti, Zakat Dinanti’ di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, kerjasama semua pihak diperlukan dalam membantu usaha PPZ-MAIWP menjejaki golongan asnaf, fakir, miskin dan ar-riqab di sekitar Wilayah Persekutuan,

Beliau berkata, pihaknya komited dalam mengagihkan pungutan zakat yang diterima kepada golongan sasaran namun adalah dalam kalangan asnaf yang tidak menerima bantuan disebabkan mereka tidak dapat dikesan serta tidak membuat permohonan.

“Kita ada skuad Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP di semua Parlimen di Wilayah Persekutuan yang ditugaskan mencari golongan tersebut. Cuma kemampuan kita terhad, mungkin ada tidak terpandang.

“Ini merupakan tugas atau tanggungjawab masyarakat bagi menghubungi Baitulmal. Kalau tidak, laporkan di masjid terdekat, beritahu imam dan akan disampaikan kepada kita. Ini adalah amanah kerana wang zakat adalah untuk mereka, peranan kita bersama,” ujarnya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *