Home » Langit Terbuka » Bayt Al Ikhlas percuma untuk anak yatim, miskin

Bayt Al Ikhlas percuma untuk anak yatim, miskin

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mengadakan lawatan ke Bayt Al Iklhas, Lumut. Foto : BERITA HARIAN

LUMUT 14 Jan. –  Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewujudkan sekolah tahfiz menggunakan kurikulum pendidikan antarabangsa secara percuma khusus untuk anak yatim dan golongan miskin.

Malah, penubuhan sekolah yang diberi nama Bayt Al Ikhlas itu turut memberi penekanan kepada pembelajaran empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Arab dan Mandarin bagi melahirkan golongan huffaz berketrampilan tinggi.

Buat permulaan, sekolah tahfiz yang dibangunkan dengan kos RM4 juta hasil sumbangan dan wakaf pelbagai pihak di tapak seluas 0.8 hektar, mengambil 22 pelajar Tingkatan Satu sebagai kumpulan perintis, selain mampu menampung 100 pelajar pada satu-satu masa.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang mencetuskan idea penubuhan sekolah berkenaan berharap dapat melihat hasil daripada pembelajaran di sekolah berkenaan dalam tempoh lima tahun daripada sekarang.

“Kita mahu memberikan pendidikan terbaik untuk anak yatim dan golongan miskin agar mereka dapat mengeluarkan keluarga dan penjaga mereka daripada kepompong kemiskinan.

“Pada masa sama, sekolah yang dikelolakan oleh Yayasan Nur Ikhlas ini diharap dapat melahirkan insan kamil yang bukan sahaja hebat dalam akademik tetapi juga sahsiah serta adab dalam Islam,” katanya selepas merasmikan sekolah itu, di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun serta Pengerusi Yayasan Nur Ikhlas yang juga Pengerusi Jemaah Pengelola Bayt Al Ikhlas, Datuk Mohd Azmi Othman.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, semua pelajar yang terpilih akan diajar hafazan al-Quran, pengajian Islam, bahasa dan pelajaran akademik lain dalam tempoh dua tahun pertama pembelajaran di sekolah berkenaan.

Katanya, mereka kemudian akan diberi pilihan mengikuti pengajian berdasarkan kecenderungan masing-masing termasuk mengambil dwipensijilan peperiksaan peringkat antarabangsa, iaitu Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

Beliau berkata, syarat pemilihan ke sekolah berkenaan ialah mesti memperoleh sekurang-kurangnya 3A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan jika tidak menepati syarat itu, maka ujian kelayakan akan diadakan manakala pendapatan keluarga atau penjaga mesti di bawah RM2,500 sebulan.

“Kami bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Perak untuk membuat tapisan bagi memastikan hanya mereka yang berkebolehan serta benar-benar miskin atau anak yatim sahaja ditempatkan di sini.

“Apabila ditempatkan di sini, pelajar bukan sahaja menerima pendidikan percuma tetapi kelengkapan persekolahan serta diri percuma, termasuk berus dan ubat gigi pun kami sediakan untuk mereka,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *