Home » Langit Terbuka » Hishamuddin Rais perlu istighfar?

Hishamuddin Rais perlu istighfar?

Hishamuddin Rais

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Aktivis sosial, Hishamuddin Rais perlu beristighfar sekiranya percakapannya dalam Forum ‘Adakah Mahathir Solusi untuk Malaysia yang Lebih Baik?’ baru-baru ini benar-benar bermaksud dia hanya dilahirkan dalam Islam tetapi tidak memeluk agama itu.

Perkara itu ditegaskan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman selain menggesa Hishamuddin menjelaskan maksud kata-katanya itu sama ada merujuk dirinya adalah bukan mualaf atau sebaliknya.

“Mungkin dia nak maksudkan dia bukan mualaf yang peluk Islam. Kena tanya (maksud) sebenarnya pada dia, kalau begitu (merujuk beliau bukan mualaf) tidak salah.

“Kalau dia cakap saya dilahirkan Islam tetapi bukan Islam, itu dia kena istighfar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kelantangan Hishamuddin yang menyatakan ‘Tentang RUU itu saya tidak ada pandangan kera­na saya tidak memeluk agama Islam tapi saya dilahirkan Islam’ semasa disoal tentang Rang Undang-Undang (RUU) pada Forum ‘Adakah Mahathir Solusi untuk Malaysia yang Lebih Baik?’.

Sementara itu, Pe­ngerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Ismail Mina Ahmad berharap Hishamuddin mendapatkan panda­ngan serta pemahaman tentang Islam daripada mufti-mufti kerana dibimbangkan ucapannya itu mempunyai im­plikasi akidah.

Jelas beliau, orang yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam secara automatik menganut agama itu dan tidak boleh mempersoalkan atau mengeluarkan kenya­taan yang bercanggah kerana dikhuatiri mayatnya tidak di­uruskan dengan baik seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan umat bukan Islam bahawa Hishamuddin tidak mewakili pemikiran atau ajaran Islam. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Seiring Dakwah dan Amal

Alhamdulillah, kebelakangan ini, ramai dalam kalangan umat Islam yang cuba mengambil peluang menyampaikan dakwah terutamanya melalui kemudahan media sosial. Hal ini sebenarnya

Mus’ab Bin Umair: Menjadi Duta Umat

Hari ini tidak seperti dahulu. Pengamalan ajaran Islam sudah semakin meluas. Baik sekecil-kecil perkara seperti rancangan keagamaan di kaca televisyen sehinggalah pelaksanaan

Dialah Muhammad Rasulullah SAW

Allah menjadikan musuhnya gerun dan takut sebelum menemuinya dalam jarak tempoh sebulan. Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Aku

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *