Home » Citra Yadim » Bedah Buku bersama Mufti Wilayah Persekutuan

Bedah Buku bersama Mufti Wilayah Persekutuan

Zulkifli sewaktu sesi Bedah Buku di Kedai Buku YADIM

PUTRAJAYA – Bahagian Penerbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Korporat YADIM pada 10 Julai telah mengadakan sesi Bedah Buku ‘Solat Itu Mudah’, bertempat di Kedai Buku YADIM di sini.

Buku nukilan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri itu, dibedah oleh beliau  sendiri sambil Penolong Pengarah Sekretariat Perhubungan Serantau YADIM, Zam Zarizal Mad Arifin bertindak selaku moderator.

Hadir sama menyaksikan sesi ini ialah Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz, Ketua Pegawai Operasi, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, serta pegawai dan kakitangan YADIM.

Ia turut disertai oleh tetamu dari luar yang memenuhi Kedai Buku YADIM, selain mendapat sambutan amat menggalakkan menerusi sesi siaran langsung di Facebook.

Dalam sesi berkenaan, Zulkifli menerangkan tentang betapa mudah dan pentingnya menunaikan solat.

Menggunakan analogi membeli kenderaan keluarga, beliau menerangkan tentang bagaimana manusia selaku hambaNya perlu sentiasa berusaha menambah baik ibadah solat mereka.

“Umpamakan kita semasa mula bekerja dan membeli kenderaan pertama, dengan pendapatan ketika itu yang sedikit, mungkin mampu kereta kecil sahaja, namun kemudian sesuai dengan perkembangan kerjaya dan keluarga, kita membeli kenderaan yang lebih besar.

“Begitu juga solat, apakah kita sekadar mahu menyembahNya secara sama dan ala kadar sahaja, sudah tentu kualiti ibadah perlu dipertingkatkan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Nik Omar semasa memberi ucapan aluan berkata, YADIM merasa gembira dan bersyukur atas kesudian tokoh ilmu seperti Zulkifli yang sudi mengadakan sesi sedemikian di YADIM.

Pada masa yang sama, beliau turut berharap supaya sesi seperti ini dapat diteruskan, sesuai dengan  seruan dalam Islam yang mahu umatnya mencari ilmu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan buku tersebut boleh melayari https://buku.yadim.com.my/ atau Facebook Kedai Buku YADIM.

 

 

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *