Home » Langit Terbuka » Bimbing anak hadapi cabaran gajet

Bimbing anak hadapi cabaran gajet

Pengerusi MAWAR berkata, kawalan terhadap bahan-bahan lucah atas talian perlu diperketatkan melalui pelbagai cara termasuk penggubalan akta dan perundangan. - Foto MAWAR

PUTRAJAYA – Ibubapa seharusnya memainkan peranan untuk mendidik anak-anak secara holistik termasuk pendidikan agama/spiritual, pendidikan reproduktif dan seksualiti.

“Ambil berat tumbesaran dan perkembangan anak-anak lelaki dan perempuan, selain membimbing dan memberikan panduan bagaimana untuk mereka menangani cabaran gajet dan video dalam talian, kata Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR)- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr Hafidzah Mustakim.

Beliau merujuk kepada kes murid tahun 6 yang direman kerana disyaki merogol seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang diasuh ibunya di Batu Gajah, Perak baru-baru ini.

Dr Hafidzah berkata, kawalan terhadap bahan-bahan lucah atas talian perlu diperketatkan melalui pelbagai cara termasuk penggubalan akta dan perundangan.

“Sudah cukup kesusahan yang kita dapati berlaku dalam masyarakat yang menjejaskan masa depan generasi kita.

“Prinsip tundukkan pandangan dan jaga kemaluan perlu juga kita terapkan pada peringkat umur yang bersesuaian, selain memantau dan mengawal penggunaan telefon pintar anak-anak, bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan unsur negatif termasuk bahan lucah.

“Kalau boleh, setiap anggota masyarakat perlu mengambil tanggungjawab berat meletakkan institusi keluarga di atas landasan yang betul agar keluarga boleh menjaga, mengembangkan ahlinya dan juga melindungi ahli keluarga dari bahaya,”katanya.

Dr Hafidzah memberitahu, pemangsa dan pelaku jenayah perlu ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Beliau turut menyeru agar pendekatan pemulihan dan pendidikan perlu dilakukan segera, agar perkara seumpama ini dapat dicegah daripada berulang.

“Sedih, apabila kejadian jenayah seksual ini terus berlaku dalam masyarakat. Paling parah, apabila mangsa dan pemangsa adalah dalam kalangan kanak-kanak. Mereka masih terlalu mentah dari serba serbi untuk menanggung semua ini.

“Saya zahirkan belas kasihan kepada kedua-dua mereka. Pemangsa berusia 12 tahun adalah mangsa keadaan kerana sudah terdedah kepada gajet dan video lucah pada usia sebegitu sehingga mengakibatkan perlakuan seksual jijik di luar kawalan akal yang waras,”jelasnya.

Sementara itu, Ketua Biro Undang-Undang dan Sosial MAWAR-YADIM, Fadhlina Sidek berkata, kanak-kanak yang didakwa merogol ini adalah di bawah undang-undang dan tidak boleh di caj merogol kerana telah diperutukkan kanak-kanak lelaki di bawah 13 tahun tidak berupaya melakukan kesalahan tersebut.

“Tumpuan kita adalah melindungi kedua-dua kanak-kanak tersebut. Maka perlu ada teguran keras bahawa kedua-dua nya mesti dilindungi mengikut undang-undang.

“Kanak-kanak yang didakwa ini haruslah melalui proses kaunseling, psikiatris dan pemulihan yang segera dan intensif,”katanya.

Jelasnya, Akta Kanak-kanak 2001 sangat penting untuk disebut bagi memastikan komitmen semua pihak melindungi kanak-kanak itu terus dipertingkatkan.

“Pelaku sebenar adalah keluarga dan golongan dewasa, kecuaian mereka telah menyebabkan kanak-kanak ini terdedah dengan kandungan seksual.

Katanya lagi, tekankan kembali kepentingan Literasi Kesihatan Reproduktif.

“Pendekatan yang perlu diambil dalam kes ini adalah pendekatan restoratif dan bukan punitif. Dalam kes kanak-kanak, tanggung jawab dan kecuaian itu perlu dikenakan ke atas ke atas golongan dewasa,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *