Home » Langit Terbuka » Bekas Ketua Pengarah IKIM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

Bekas Ketua Pengarah IKIM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini atas sumbangannya dalam perkembangan Islam di tanah air.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M, di sini hari ini.

Antara sumbangan Abdul Monir adalah mewakili Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengetengahkan isu berhubung keadaan banduan Islam yang menghadapi masalah menunaikan solat kerana hanya dibenarkan berpakaian baju T dan seluar pendek.

Beliau juga ketika dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keutuhan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mencadangkan supaya polis wanita digalakkan memakai tudung.

Sementara itu, Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakr Amad pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Sheikh Abu Bakr mempunyai kepakaran dalam bidang al-Quran dan hadis terutamanya Kitab Sahih Bukhari, Sains Kerohanian, Sejarah dan Perundangan Islam.

Beliau juga adalah ahli di Institut Pemikiran Islam Aal al-Bayt Diraja Jordan; ahli Pihak Berkuasa Am Majlis Fatwa Seluruh Dunia, Mesir dan ahli Muslim Elders Council Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah, termasuk wang tunai dan sijil penghargaan kepada kedua-dua tokoh berkenaan.

Turut berkenan berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang turut hadir pada majlis itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. – Utusan

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *