Home » Langit Terbuka » Umat Islam perlu kuasai disiplin ilmu, teroka kejayaan

Umat Islam perlu kuasai disiplin ilmu, teroka kejayaan

- Kredit Foto JAKIM

KUALA LUMPUR – Umat Islam perlu menguasai pelbagai disiplin ilmu untuk meneroka kejayaan dalam lapangan kehidupan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, dalam mendepani ledakan teknologi maklumat yang semakin mencabar hari ini, umat Islam harus bijak dan peka memanfaatkannya untuk perkara yang menjurus ke arah kebaikan, bukan cenderung kepada perkara-perkara negatif seperti mengadu domba dan menyebarkan fitnah yang boleh membawa kepada perpecahan.

“Semangat hijrah seharusnya mengajak umat Islam merapatkan kesatuan hati dan pemikiran untuk membina jati diri yang mantap,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445/2023 di WTC, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sesungguhnya dengan ketabahan, kecekalan dan pengorbanan, umat Islam mampu memberikan sumbangan bermakna bagi menjayakan agenda Membangun Malaysia Madani.

Mohd Na’im berkata, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW seharusnya dijadikan iktibar kepada orang ramai bahawa asas kepada perpaduan ummah adalah kesatuan umat yang kuat dan jitu dan umat yang menjiwai makna kesatuan akan sentiasa terbuka minda, berlapang dada serta saling lengkap melengkapi dan menghormati antara satu sama lain.

“Sungguhpun hijrah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW tidak berlaku lagi pada zaman ini, namun konsep penghijrahan tetap relevan untuk diterjemahkan dalam kehidupan.

“Oleh itu, umat Islam adalah diseru untuk melakukan perubahan kepada keadaan yang lebih baik bagi mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat,” katanya.

Justeru, beliau menyeru rakyat Malaysia berhijrah menjadi individu terbaik yang memberi manfaat kepada masyarakat sekali gus menjauhi sikap berprasangka buruk terhadap sesama sendiri yang akhirnya akan menyemarak api permusuhan serta kebencian. – Bernama

 

 

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *