Home » Langit Terbuka » Belia habiskan empat jam sehari layari media sosial

Belia habiskan empat jam sehari layari media sosial

CYBERJAYA 18 April – Purata golongan belia negara ini mempunyai empat akaun media sosial dan menghabiskan selama empat jam sehari melayari media sosial berbanding trend masyarakat dunia kini, dua jam sehari.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, golongan ber­kenaan yang berusia 15 hingga 40 tahun merupakan 77 peratus daripada lebih 24 juta pengguna internet di negara ini.

Menurutnya, statistik itu berdasarkan dapatan kajian pengguna internet yang dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada tahun lalu.

Katanya, statistik Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia juga menunjukkan kira-kira 63 peratus belia menggunakan laman sosial pada masa lapang mereka.

“Ini jelas menunjukkan betapa signifikannya pengaruh internet dalam kehidupan seharian belia Malaysia.

“Namun begitu, sejak ke­be­lakangan ini statistik aduan berkaitan media baharu pula me­nunjukkan peningkatan bilangan terutama yang berkaitan kandu­ngan lucah, sumbang, palsu, me­ngancam dan jelik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Advokasi Melalui Penglibatan Strategik Antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Berdasarkan laporan ‘Pew Social Media Update 2016’ trend masyarakat dunia kini, menghabiskan masa selama dua jam sehari di media sosial.

Dalam pada itu, Jailani memberitahu, sejak 2015 sehingga Oktober lalu, SKMM telah menyekat sebanyak 5,044 laman web melibatkan pelbagai kesalahan yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 4,277 kes melibatkan laman web lucah, jelik dan me­ngancam keselamatan manakala 767 lagi berkaitan isu perjudian, pelacuran serta cetak rompak.

“Melalui pengaruh MBM yang mempunyai rangkaian teguh de­ngan lebih tiga juta ahli di seluruh negara serta 39 badan gabungan, saya yakin MBM dapat membim­bing belia sebagai pemimpin rakan sebaya manakala SKMM dapat memanfaatkan peluang ini untuk menjangkau audiens sasaran.

“Saya percaya belia berpotensi menjadi medium yang sangat efektif untuk menyampaikan maklumat khususnya kepada rakan-rakan lain mengenai penggunaan teknologi dan internet secara positif,” katanya.

Sementara itu, mengenai dakwaan SKMM lambat bertindak dalam melaksanakan bidang kuasanya, Jailani menafikannya kerana suruhanjaya itu telah memberi jaminan kepada kementerian untuk mengambil tindakan segera terhadap sebarang aduan.

Katanya, pihak yang berasakan teraniaya berkaitan internet boleh membuat laporan kepada SKMM dan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia akan diambil.

Utama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *