KOTA BHARU – Golongan belia perlu didekati dan diberi fahaman jelas berhubung jihad dalam konteks Islam yang sebenar bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gerakan radikal seperti militan IS yang jelas tersasar daripada ajaran agama sebenar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, untuk melaksanakan pendekatan terbabit, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai belia seharusnya mendekati peringkat belia seusia mereka ini.

Dalam usaha ini katanya, kerajaan juga perlu mengadakan kerjasama dengan pihak NGO terbabit bagi membantu melaksanakan pendekatan sebenar bagi memastikan golongan itu tidak mudah terjebak.

“Mereka ini mudah terpengaruh dengan anasir luar dan perlu diberi perhatian sewajarnya. Islam tidak mengajar melalukan keganasan sebagai jihad,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penangkapan empat belia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dan seorang lagi di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Setiawangsa, yang dipercayai terlibat dalam gerakan militan IS.

Terdahulu Asyraf Wajdi menghadiri majlis dialog belia anjuran Majlis Belia Kelantan (MBK) semalam, turut dihadiri Yang Dipertua MBK, Syahbuddin Hashim.