Home » Langit Terbuka » Beri hak kepada pramugari untuk bertudung

Beri hak kepada pramugari untuk bertudung

HELWA ABIM menegaskan, pramugari bertudung bukanlah sesuatu yang janggal mahupun ketinggalan zaman bagi sebuah negara Islam

KUALA LUMPUR – Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pihak pengurusan Malaysian Airlines Berhad (MAB) memberi opsyen kepada pramugari mereka untuk memilih berpakaian menutup aurat dan bertudung sewaktu bertugas sebagai staf kabin.

Naib Presidennya, Nor Azura Kamarudin Sohami berkata, hal itu bukanlah sesuatu yang janggal mahupun ketinggalan zaman bagi sebuah negara Islam memandangkan syarikat penerbangan gergasi di peringkat antarabangsa seperti British Airways telahpun mempunyai polisi yang membenarkan pekerja kabin bertudung.

“Helwa ABIM ingin mencadangkan agar MAB memperkenalkan polisi pemakaian mesra wanita Islam yang jelas. Pihak MAB perlu memberi ruang kepada staf kabin, selain staf pejabat (ground staff) untuk bertudung malah mempunyai hak dan pilihan untuk memakai pakaian seragam yang selesa dan sesuai dengan imej wanita Islam ketika bertugas.

“Sebarang bentuk diskriminasi terhadap pekerja wanita beragama Islam di tempat kerja adalah tidak boleh diterima sama sekali,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Nor Azura, pihaknya menyifatkan isu pemakaian tudung ketika bertugas telah lama berterusan dan perlu diselesaikan dengan segera.

Katanya, pemakaian tudung di ketika bertugas bukan hanya isu agama dan masalah di tempat kerja malah pihaknya berpandangan hak-hak pekerja wanita Muslim wajar diambil berat dan tidak dipandang serong,

“Antara faktor kejayaan syarikat penerbangan terkemuka dunia adalah kerana pengalaman yang mantap dalam diversiti jaringan penerbangan serta jaminan kualiti dan tahap keselamatan kapal terbang pada tahap yang paling baik.

“Maka MAB seharusnya boleh melaksanakan polisi pemakaian yang mengangkat martabat pekerja wanita Islam yang tidak memberi kesan kepada untung rugi industri penerbangan,” katanya.

 

https://www.utusan.com.my/berita/nasional/beri-hak-kepada-pramugari-untuk-bertudung-helwa-abim-1.724231#ixzz5NSmBorGG

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *