Home » Langit Terbuka » Beri ruang perubatan Islam dilaksana di hospital kerajaan: Zainul Rijal

Beri ruang perubatan Islam dilaksana di hospital kerajaan: Zainul Rijal

Permintaan untuk perubatan Islam semakin hari semakin bertambah seiring dengan perubatan moden. GAMBAR HIASAN

BANGI, 12 Jan.  – Sudah sampai masanya Kementerian Kesihatan menyediakan kemudahan yang perlu bagi melaksanakan perkhidmatan perubatan Islam di hospital kerajaan, tegas Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau berkata, ia kerana permintaan untuk perubatan Islam semakin hari semakin bertambah seiring dengan perubatan moden.

Bahkan, rakyat juga seharusnya diberikan peluang untuk menikmati kebaikan daripada kedua-dua jenis perubatan ini.

“Bukan hasrat perubatan Islam ingin bersaing atau menandingi perubatan moden namun kedua-dua cabang ini mempunyai kebaikannya yang tersendiri dan seharusnya saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan di Utusan Online.

Beliau menjelaskan, perubatan Islam bukanlah terhad kepada penyakit rohani semata-mata seperti sihir, santau dan sebagainya tetapi ia juga boleh berfungsi merawat penyakit-penyakit fizikal seperti barah dan kencing manis.

“Walaupun kaedah rawatannya berbeza daripada rawatan moden, namun dalam banyak keadaan pesakit fizikal juga dapat diubati melalui perubatan Islam.

“Dengan kemudahan yang disediakan, perubatan Islam di hospital bukan sahaja dapat disediakan kepada orang awam tetapi juga dapat dipantau agar sebarang bentuk ‘rawatan’ bertentangan dengan hukum syarak dapat dikawal dan dibendung dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pihak hospital dan juga kementerian tidak akan menanggung kerugian malah jika pesakit berjaya diubati ia akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan merawat pesakit tersebut.

“Saya tidak menjangkakan sebarang mudarat akan berlaku kepada pesakit kerana perubatan Islam tidak menggunakan bahan-bahan berbahaya atau beracun.

“Apa yang penting ialah manfaat yang baik akan dapat dinikmati rakyat tanpa mengira ia bersandarkan perubatan moden ataupun perubatan komplementari lain termasuk perubatan Islam. Ia bukan perubatan alternatif tetapi komplementari yang melengkapkan perubatan moden,” katanya. ISMAWEB

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *