Sultan Abdullah bertitah, perkara itu penting supaya semua pihak dapat bersama-sama dengan baginda melaksanakan tugas dan amanah penting memajukan negara.

“Sudah tentu saya begitu memerlukan kerjasama, nasihat dan panduan supaya bersama-sama kita dapat melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin.

“Mudah-mudahan usaha ini akan mendapat rahmat Allah SWT seterusnya memajukan negara tercinta ini,” titah baginda kepada pemberita selepas berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Baru Temerloh di sini.

Turut diadakan, solat hajat, tahlil dan doa selamat serta majlis santapan kesyukuran sempena memuliakan baginda di masjid sama.

Berkenan berangkat Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selepas mesyuarat khas Majlis Raja-raja di Istana Negara semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan berkata, Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari ini.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah bersyukur ke hadrat Allah SWT atas anugerah dan amanah diberikan kepada baginda untuk menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Baginda juga menjunjung kasih kepada Majlis Raja-raja yang memberikan kepercayaan.

“Insya-Allah saya akan mencuba sedaya upaya untuk melunaskan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong,” titah baginda. – Utusan Malaysia