Home » Citra Yadim » Maahad Tarbiah Islamiah kunjungi YADIM

Maahad Tarbiah Islamiah kunjungi YADIM

Maahad
Nik Omar (tengah) dan Mahfuz (kiri) bergambar bersama delegasi Maahad Tarbiah Islamiah Derang

PUTRAJAYA – Sebuah institusi pengajian tahfiz, Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena, Kedah hari ini mengadakan kunjungan kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Kunjungan yang terdiri daripada 45 pelajar dan 6 guru pengiring itu turut disertai oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Yang Behormat Datuk Mahfuz Omar, merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena.

Ketibaan mereka pada jam 3 petang disambut sendiri oleh Yang Dipertua YADIM, Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz sebelum mereka di bawa ke bilik taklimat untuk sesi taaruf dan perkenalan.

Sebelum sesi taklimat diberikan oleh Nik Omar, Mahfuz diberi kesempatan untuk menerangkan isu isu semasa berkaitan kementeriannya.

Antara yang diterangkan ialah usaha Kementerian Sumber Manusia untuk memperkasakan institusi tahfiz di negara ini.

“Antara yang sedang dilaksanakan ketika ini ialah meningkatkan kemahiran pelajar tahfiz agar mereka lebih berdaya saing dan diterima di pasaran kerja. Ia dilakukan menerusi program Tahfiz   Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional  (Tahfiz TVET).

“Saya sebut pada pegawai di kementerian, supaya tahfiz TVET ini tidak bertumpu pada pengurusan sahaja, tetapi juga bidang kemahiran,” katanya.

Tambahnya, turut diusahakan pihaknya sekarang ialah kursus untuk tenaga pengajar Tahfiz TVET itu sendiri, yang kini sedang dilaksanakan di Ipoh, Perak.

Sementara itu, Nik Omar dalam sesi taklimatnya, menerangkan tentang peranan, gerak kerja dan organisasi YADIM.

Menurutnya, YADIM kini dalam proses menstrukturkan semula pentadbirannya untuk meningkatkan keberkesanan gerak kerjanya.

Tambah beliau, fokus YADIM selepas ini ialah usaha pengkaderan pendakwah dan daie, selain menjadi penyelaras kepada badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini.

Beliau turut mengambil kesempatan memberikan kata kata motivasi kepada para pelajar berkenaan.

“Walaupun sekiranya anda kekurangan dari prasarana, tetapi kena letakkan sasaran, usaha supaya selepas ini pada masa akan datang, kita pula yang membantu maahad kita,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *