Home » Langit Terbuka » Berkat zakat : dulu RM500 kini RM3,000

Berkat zakat : dulu RM500 kini RM3,000

Fazliana cukup berterima kasih kepada MAIWP atas kepercayaan memberikan bantuan berkenaan untuk dia memulakan kehidupan baru. FOTO : Harian Metro

PERIBAHASA “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian” ini cukup sesuai dengan apa yang dialami oleh Puan Fazliana Shirat, 34. Beliau yang dahulunya terpaksa bangun awal pagi bagi menyiapkan juadah makanan untuk dijual di kedai, kini mampu hidup selesa dengan pendapatan yang diraihnya.

Jika dahulu beliau hanya meraih pendapatan sebanyak RM500 sebulan, kini pendapatannya bertambah sehingga RM3,000 sebulan.

Semua ini adalah atas usaha beliau berkat bantuan daripada wang zakat yang diterima daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Bantuan Perniagaan yang diterima sejak 2010 digunakan untuk memulakan perniagaan jahitan.

Terima kasih MAIWP Harian MetroWalaupun di awal perkahwinannya bersama Muhammad Khairul Nazri Ahmad, 41, mengalami kesukaran, beliau tetap gigih mencari rezeki tambahan pula suaminya tidak dapat bekerja akibat kemalangan jalan raya pada 2008.

“Namun kami tidak patah semangat. Dalam keadaan tempang, suami saya bangkit membantu setiap pagi dengan memasak makanan untuk dijual di kedai berikutan dia mempunyai pengalaman membuka kedai makan sebelum ini,” ujarnya.

Ibu kepada 3 cahaya mata ini merupakan penerima Bantuan Perniagaan secara berperingkat daripada Baitulmal MAIWP. Beliau menerima bantuan untuk memulakan perniagaan dengan pembelian peralatan jahitan sebanyak RM5,000.00 (2010), RM3,000.00 (2014) dan RM2,500.00 (2017).

“Dahulu saya bekerja di sektor swasta, kerjaya saya membataskan masa dan perhatian saya terhadap suami dan anak-anak, tambahan pula suami saya merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) akibat kemalangan. Kini saya tidak sahaja melihat anak-anak membesar di depan mata, malah perniagaan berasaskan jahitan kini semakin maju dan saya kini berjinak-jinak pula dengan menjual tepung kek segera dan ikan masin.”

Fazliana kini mampu berbangga apabila mampu menyiapkan 30 pasang baju kurung, lima pasang jubah dan 60 ‘bean bag’ seminggu.

“Alhamdulillah tempahan semakin banyak dan pada 2014 saya ditawarkan sekali lagi bantuan sebanyak RM3,000 untuk mengembangkan perniagaan menerusi atas talian,” katanya yang mempunyai Diploma Pereka Fesyen dari institusi latihan swasta.

“Hari-hari saya kini diisi dengan menjahit. Walaupun penat namun saya seronok melakukan kerja ini dan Alhamdulillah pendapatan saya kini cukup untuk membantu suami menyara keluarga.

Menurutnya, dia cukup berterima kasih kepada MAIWP atas kepercayaan memberikan bantuan berkenaan untuk dia memulakan kehidupan baru.

“Saya amat berterima kasih kepada MAIWP kerana telah membantu saya memajukan perniagaan berasaskan kerja-kerja jahitan. Jika dahulu pendapatan saya sekitar RM500.00 sebulan ini saya mendapat pendapatan sekitar RM2,000.00 hinggga RM3,000.00 sebulan”.

MAIWP melalui Bahagian Baitulmal menawarkan Bantuan Perniagaan kepada asnaf bagi memulakan dan meneruskan perniagaan untuk membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

Selain itu, Baitulmal MAIWP turut menawarkan 27 skim bantuan zakat yang lain. Maklumat lanjut tentang 28 skim bantuan zakat Baitulmal MAIWP, layari www.maiwp.gov.my.- KISAHZAKATMALAYSIA.COM

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *