Home » Persuasif » Berpada-pada dalam berhibur

Berpada-pada dalam berhibur

Oleh MAHANOR SALEHA

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-107 yang berlangsung pada 10-11 Februari 2015 telah bersetuju memperakukan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang kemudiannya dipaparkan dalam laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mulai 18 April 2015. Tujuan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (GPHDI) itu ialah sebagai rujukan “kepada pihak berkuasa, penganjur, penerbit dan pihak yang terlibat dalam aktiviti dan industri hiburan.” GPHDI berusaha “memisahkan sama ada hiburan itu dibolehkan atau sebaliknya menurut Islam” di mana hiburan itu hendaklah “menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia, menolak sebarang kerosakan dan tidak mempromosikan pemikiran atau kefahaman ajaran selain daripada Islam”.

GPHDI meliputi (1) artis (peribadi dan penampilan), (2) persembahan (seni pentas, nyanyian dan  tarian), (3) lagu (lirik, peralatan muzik dan unsur muzik), (4) penganjuran program hiburan (manfaat, kesesuaian masa dan tempat, kelulusan pihak berkuasa, pengisian program, ritual, provokasi, pergaulan atau percampuran khalayak), dan (5) klip video (rakaman dan kandungan). GPHDI hendaklah dipatuhi bersama (1) Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam; (2) Garis Panduan Penapisan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam; dan (3) Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung dengan Unsur-unsur yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Berdasarkan pemakaian GPHDI, hiburan tidak dilarang dalam Islam asalkan hiburan itu tidak mendatangkan keburukan kepada persekitaran, manusia dan mempengaruhi fikiran sehingga boleh merosakkan akal yang sihat.

Hiburan merupakan salah satu fitrah manusia. Al-Ghazali (1058-1111M) menjelaskan seni adalah kemahiran yang lahir dan sesuai dengan jiwa manusia. Al-Farabi (872-950M) pula mengkategorikan ciptaan seni oleh manusia sebagai bentuk keindahan yang mampu menggerakkan jiwa, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan dan kemesraan.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang sentiasa menjadi rujukan umat Islam masa kini tidak menolak kepentingan hiburan bagi seseorang Muslim. Dalam sebuah kitabnya yang masyhur, Halal dan Haram dalam Islam (edisi terjemahan H. Mu’ammal Hamidy, 1993 diakses dari https://cahayamalamdibulanjuli.files.wordpress.com/2011/05/halal-haram-dalam-islam-oleh-yusuf-qardhawi.pdf ) menjelaskan: “Islam adalah agama realis, tidak tenggelam dalam dunia khayal dan lamunan. Tetapi Islam berjalan bersama manusia di atas dunia realiti dan alam kenyataan. Islam tidak memperlakukan manusia sebagai Malaikat yang bersayap dua, tiga dan empat. Tetapi Islam memperlakukan manusia sebagai manusia yang suka makan dan berjalan di pasar-pasar.

“Justeru itu Islam tidak mengharuskan manusia supaya dalam seluruh percakapannya itu berupa zikir, diamnya itu bererti berfikir, seluruh pendengarannya hanya kepada al-Quran dan seluruh senggangnya harus di masjid. Islam mengakui fitrah dan ‘instinct’ manusia sebagai makhluk yang dicipta Allah, di mana Allah membuat mereka sebagai makhluk yang suka bergembira, bersenang-senang, ketawa dan bermain-main, sebagaimana mereka dicipta suka makan dan minum.”

Jelaslah bahawa Islam tidak mewajibkan manusia seharian untuk berzikir dan semua masa lapangnya mesti beriktikad di dalam masjid. Ini kerana Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri. Allah SWT menciptakan manusia untuk menghargai dan menikmati keindahan kerana dari keindahan itu membangunkan rasa senang, gembira, ketawa dan bermain-main. Ia seperti juga Allah SWT menghadirkan manusia dengan naluri untuk makan dan minum.

Manusia dalam fitrah kehidupannya dilengkapkan juga dengan emosi. Emosi manusia dipengaruhi oleh apa yang ada di dalam hatinya. Akibat dipengaruhi oleh sesuatu yang didengar dan dilihat, emosi manusia menerbitkan pula suasana ceria, sedih, marah, bosan, benci, rindu dan sebagainya. Bagi membentuk suasana ceria dan gembira, hati memerlukan persekitaran yang tenang. Ketenangan sebahagian besarnya disumbangkan oleh aktiviti berbentuk hiburan dan kerana itulah apa yang dilihat oleh manusia sentiasa dikomentarkan sebagai “terhibur” atau sebaliknya, “membosankan.”

Dalam beberapa kajian psikologi, tingkah laku manusia akan memperolehi motivasi yang tinggi sekiranya suasana pekerjaan mereka ceria dan menghiburkan. Sebab itulah dalam beberapa firma yang memerlukan manusia sentiasa berfikir, persekitaran kerja mereka sentiasa diinovasikan sehingga kelihatan ceria, kemas dan sentiasa hidup. Ada firma yang mengalunkan muzik sepanjang masa bekerja dan sewaktu rehat, para pekerja boleh menghabiskan masa rehat itu dengan melakukan aktiviti berbentuk hiburan, termasuk berkaraoke, bersenam dan menonton program-program televisyen.

Islam sebagai cara hidup yang lengkap, memberikan garis panduan agar hiburan yang dilihat dan didengar benar-benar mendatangkan manfaat kepada kehidupan manusia. Islam tidak membenarkan manusia hanyut dan leka dalam bentuk-bentuk hiburan. Hiburan juga seperti makanan, sekiranya diambil secara berlebihan dan tidak seimbang, akan menyebabkan manusia diancam oleh pelbagai penyakit. Misalnya, pengambilan gula secara berlebihan akan menyebabkan kemudaratan sehingga manusia cenderung diserang penyakit diabetes.

Bagi mengelakkan manusia hidup dalam kelekaan dan hilang nikmatnya yang lain, Allah SWT menetapkan bahawa hiburan tidak boleh dilakukan sesuka hati, berdasarkan nafsu tanpa kawalan. Hiburan tanpa kawalan lebih berbaur hedonisme.

 

Pengaruh Hiburan

Kebebasan menikmati hiburan telah menjadi sebahagian budaya hidup masyarakat Islam sehingga mereka ‘memuja’, ‘menghormati’, ‘meniru’ dan mengikuti perkembangan dunia hiburan yang berpengkalan di Barat. Mereka bukan sahaja mengenali setiap orang yang terlibat dalam industri berkenaan, malah ikut menjadikannya seperti ‘ikon teladan’ dengan ‘memahatkan’ nama-nama dalam banyak perkara, termasuklah jenama pakaian, jenis makanan dan fesyen (kaca mata, baju, kosmetik dan pelbagai hiasan).

Malaysia tidak terkecuali dengan ‘kegilaan’ itu sehingga ada sebuah restoran ‘western’ menamakan menu mereka saperti JLO Lamb Chop, Elvis Chicken Chop, John Lennon Chicken Chop,  Beyonce Cheesy Steak, Katy Perry Sirloin Steak, Jay Z Steak Combo, Mariah Carey Grill Lamb Chop, Madona Cheesy Chicken Chop dan Marilyn Chicken Cordon Blue. Pengusaha adalah orang Melayu-Islam manakala penggemarnya juga adalah orang Melayu-Islam. Inilah hebatnya pengaruh hiburan dalam masyarakat Melayu-Islam, malah ada ketikanya mereka sanggup menamakan anak-anak mereka dengan mengubahsuaikan nama-nama artis popular, atau watak dalam drama popular.

Kini, nama anak-anak yang menjadi perhatian ialah Mia Adriana bersempena nama watak utama siri drama 7 Hari Mencintaiku. Sebelumnya, nama-nama seperti Mira Edora (Filem Mira Edora), Adam Mukhriz dan Ain Hawani (drama bersiri Adam dan Hawa), Medina Izwani dan Zafril (drama bersiri Isteri Separuh Masa). Beberapa ungkapan ‘romantis’ yang diucapkan di dalam drama atau filem turut menjadi sebahagian siulan dan bahan interaksi dalam laman sosial.

Kecenderungan sedemikian membuatkan ramai yang larut dalam ‘fantasi cinta’ dan keadaan ini, jika dibiarkan berterusan akan mengakibatkan masyarakat tidak lagi ‘menyakini kebenaran ajaran agama’ walaupun secara zahirnya ‘bertudung dan berkopiah’.

Pengaruh ini menurut Dr Adian Husaini, “…masyarakat sudah dibuat tidak meyakini kebenaran ajaran agama, maka yang akan dijadikan pegangan adalah akal manusia semata atau hawa nafsu mereka. Tidak ada standard kebenaran. Pada ketika itulah masyarakat akan terseret ke dalam arus nilai yang serba relatif dan temporal. Kebenaran tergantung pada kesepakatan. Agama tidak diberi hak untuk campur tangan untuk menentukan baik dan buruk di tengah masyarakat. (Wajah Peradaban Barat: Dari Hegemoni Kristen ke Dominasi Sekuler-Liberal (2005), hal.17)”

Inilah konsep hiburan yang berkembang dari aliran falsafah hedonisme. Falsafah pemikiran yang menarik manusia untuk hidup dalam kelalaian, mengamalkan gaya hidup bebas dan mengorbankan nilai akhlak mulia yang berteraskan agama. Kesannya, ia bakal melahirkan manusia yang menjadikan keseronokan dan kemewahan sebagai keutamaan dalam kehidupan seharian. Konsep sedemikianlah yang sepatutnya dihalang, dilarang berkembang dalam masyarakat Melayu-Islam.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan, akan ada dalam kalangan umat Islam yang berhibur melampaui batas agama. Ia menjadi salah satu petunjuk akhir zaman. Kumpulan ini dikategorikan sebagai “manusia berperangai kera dan babi”: “Sesungguhnya sebahagian daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka serta dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan babi” (HR Ibnu Majah dari Abu Malik as-Syari).

 

Hiburan Mengikut Acuan

Cat Steven atau nama Islamnya Yusuf Islam begitu mencintai muzik. Sebelum kembali ke agama fitrah, aktif menghasilkan album pelbagai genre muzik manakala muzik yang dibawa adalah berunsur cinta dan keduniaan. Setelah memeluk Islam, tetap aktif menghasilkan album kerana masih mencintai muzik, tetapi membawa lagu-lagu yang berunsurkan ketuhanan, misalnya lagu I look I see (menyeru keimanan kepada Allah). Yusuf Islam sedar, matlamat berhibur bukan sahaja untuk menyenangkan hati dan bergembira, tetapi untuk mendekatkan diri dengan Allah, menjadi lebih beriman. (Yusuf Islam, Mengapa Saya Masih Memetik Gitar, ITBM, 2015).

Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur, tetapi hiburan yang boleh dinikmati ialah tidak melalaikan dan membawa nilai-nilai hedonistik. Menikmati hiburan dibolehkan, tapi mestilah berpada-pada, bukan melampau dan terlampau bebas.

Tindakan JAKIM mengeluarkan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam dapat membantu umat Islam untuk menikmati hiburan yang sihat, tetapi sayangnya, GPHDI masih tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

PBT boleh mengeluarkan lesen walaupun persembahan bercanggah dengan GPHDI sebagaimana pernah berlaku suatu ketika dahulu terhadap Future Music Festival Asia 2014 yang diadakan di Stadium Bukit Jalil selama tiga hari (15-17 Mac 2014). Konsert itu hanya dibatalkan pada malam terakhir setelah enam orang (Kamal Zekry Kamal Basha, 22; Victor Wong E Hern, 26; Sabreena Kamaruddin, 21; M.Suresh, 28; Syazana Sohaime, 23; dan Nor Faizza Mohd Wazir, 27) meninggal akibat sesak nafas setelah mengambil dadah (methamphetamine yang juga dipanggil designer drug) untuk menikmati ‘keseronokan berlebihan’.

Hiburan pada masa kini bukan sahaja dilihat sebagai industri yang menguntungkan, ia juga jika tidak diawasi adalah ‘satu jalan menuju ke neraka kehidupan’. Hiburan menjadi tidak ‘menarik’ jika tidak diiringi dengan ‘pesta terkinja-kinja’ sehingga sebahagian penontonnya seperti ‘orang hilang ingatan’. Hiburan sedemikian, atas apapun alasannya wajar disekat dan jika pihak penganjurnya melanggar syarat kebenaran hukumannya adalah mandatori penjara, bukan sekadar membayar denda. Jika ini dapat dilaksanakan, gaya berhibur rakyat Malaysia boleh dikawal dan menjadi lebih berpada-pada, sekurang-kurang bagi persembahan dalam negara.- MAJALAH DAKWAH

 

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *