Home » Lagenda » Janji Rasulullah pasti dikotakan!

Janji Rasulullah pasti dikotakan!

Oleh HAFEEZ NUR

Seratus ekor unta betina…

Baginya itu satu tawaran yang menarik. Dengan kebolehannya sebagai pakar mencari jejak dan penunggang kuda yang handal, 100 ekor unta itu sudah pasti miliknya!

Tawaran hasil dari perjumpaan di Darul Nadwah di rumah Abu Jahal itu membakar semangatnya untuk meneruskan misi memburu. Kekecewaan para pembesar Quraisy menghalang hijrah Muhammad bin Abdullah SAW dan Abu Bakar as-Siddiq ke Madinah benar-benar menjadi tamparan besar bagi mereka. Sedangkan segala persediaan rapi mengepung dan misi mencari sehingga ke pintu Gua Tsaur sudah dibuat. Kelibat Muhammad SAW dan Abu Bakar RA tidak kelihatan. Licik sungguh!

Lalu tawaran penangkapan Muhammad SAW serta sahabatnya Abu Bakar dibuat. Sama ada hidup atau mati, 100 ekor unta betina akan menjadi ganjaran kepada sesiapa saja yang berjaya memburu. “Barang siapa yang berjaya membawa Muhammad, hidup atau mati, maka baginya seratus ekor unta betina yang hampir beranak.” Begitulah pengumuman mereka.

Di pinggir Mekah disebuah kampung yang dipanggil Madlaj, dia memasang strategi. Lahir dari kalangan kabilah yang terkenal sebagai penjejak yang hebat, dia bertekad menggunakan kepakarannya untuk merebut ganjaran lumayan itu. Bagai pucuk di cita ulam mendatang, cerita seorang lelaki yang terserempak dengan tiga orang musafir yang dipercayai rombongan Muhammad SAW yang diburu oleh kaum Quraisy menguatkan lagi keazamannya untuk memburu. Tambahan pula, lelaki itu yakin benar ketiga-tiga orang musafir itu adalah Muhammad SAW dan Abu Bakar as-Siddiq bersama seorang penunjuk jalan.

Mendengarkan maklumat daripada lelaki itu membuatkannya gembira. Semakin besar peluangnya memiliki 100 ekor unta itu. Dia segera bergegas pulang lalu dengan pantas menggapai pedang, panah dan menyiapkan kudanya. Dengan segera dia menunggang kudanya yang terlatih itu dengan laju agar tidak kehilangan jejak.

Kemahirannya itu berjaya menjejak rombongan Muhammad SAW. Dengan pantas dia meluru ke arah sasarannya. Tanpa diduga, tiba-tiba kaki kudanya terperosok menyebabkan dia terjatuh. Tanpa menghiraukan kesakitannya, dia terus melompat ke atas kudanya semula dan meneruskan tunggangannya. Baru beberapa langkah, kudanya jatuh lagi. Pelik sungguh! Seumur hidupnya, tidak pernah perkara sebegini berlaku ke atas dirinya. Malulah dengan statusnya sebagai penunggang kuda yang handal!

Terdetik juga dihati untuk berpatah balik dan berputus asa sahaja. Tetapi ganjaran yang ditawarkan cukup lumayan. Dia meneruskan tunggangannya. Di hadapan, kelihatan tiga orang sedang berjalan. Dia yakin, mereka adalah orang yang diburunya. Dengan perlahan, dia mendekati rombongan kecil itu sambil tangannya mencapai panah.

Namun, dengan tidak semena-mena tangannya menjadi kaku. Kaki kudanya terbenam di dalam pasir. Debu-debu berterbangan di sekitarnya, membuat matanya kabur dan tak dapat melihat. Dia cuba memaksa kudanya tetapi sia-sia saja. Kaki kudanya melekat di padang pasir seakan dipasak.

“Tolong, berdoalah kepada Tuhan kalian, supaya Dia melepaskan kaki kudaku. Aku berjanji tidak akan mengganggu kalian!”

Mukjizat seorang Rasul, Allah SWT sentiasa memelihara kekasihnya Muhammad SAW daripada kejahatan. Rasulullah SAW menoleh, tersenyum, dan berdoa. Sungguh menakjubkan, kaki kudanya bebas dari cengkaman pasir. Dia berasa heran dan kagum. Namun rasa tamak yang menguasai diri membuatkannya melupakan janji. Sekali lagi dia cuba menangkap Rasulullah namun sekali lagi kaki kudanya terbenam, bahkan lebih parah dari tadi. Rasa takut menguasai dirinya. Dia segera memohon belas kasihan daripada Rasulullah SAW.

“Ambillah bekalanku, harta, dan senjataku. Aku berjanji, demi Allah, tidak akan mengganggu kalian lagi,” ucapnya sepenuh hati.

“Kami tidak perlukan hartamu. Jika kamu menyuruh setiap orang yang hendak mengejar kami supaya kembali, itu sudah cukup bagi kami,” jawab Rasulullah SAW. Rasulullah lantas berdoa lalu bebaslah kudanya dari cengkaman pasir.

“Demi Tuhan, saya tidak akan mengganggu tuan-tuan lagi. Aku akan menyuruh setiap orang yang berusaha mengejar kalian supaya pulang nanti,” janjinya seraya berpatah balik.

“Apa yang engkau kehendaki dari kami?” tanya Rasulullah SAW.

“Demi Allah, wahai Muhammad, saya yakin agama yang engkau bawa akan menang dan kekuasaan engkau akan tinggi. Berjanjilah padaku, apabila aku datang menemuimu nanti, sudilah engkau bermurah hati padaku.”

“Bagaimana jika pada suatu waktu engkau memakai gelang kebesaran Kisra?” tanya Rasulullah SAW.

“Gelang kebesaran Kisra bin Hurmuz?” cetusnya kehairanan.

“Ya, gelang kebesaran Kisra bin Hurmuz!”

“Tuliskanlah itu untukku.”

Rasulullah SAW menyuruh Saidina Abu Bakar RA menulis pada sepotong tulang, lalu memberikan tulang itu kepadanya.

Setelah yakin Rasulullah dan rombongan kecilnya dapat meneruskan perjalanannya tanpa gangguan, dia terus pulang ke kampung halamannya. Sekembalinya ke kampung halaman, dia memberitahu sekumpulan orang yang sedang mencari Rasulullah SAW bahawa Baginda tidak ditemui di jalan-jalan yang dilaluinya. Kata-kata daripada seorang yang mahir menjejak sudah tentu dipercayai. Dengan kecewa, orang-orang itu membatalkan niat mereka. Sementara dia terus merahsiakan pertemuannya dengan Rasulullah SAW.

Hari terus berganti.

Sepuluh tahun kemudian, Rasulullah yang dahulunya telah meninggalkan kampung halamannya kini berjaya menawan kota Mekah, kota kelahirannya itu. Pada hari itu, lelaki yang dahulunya telah melepaskan Rasulullah untuk meneruskan hijrahnya bertemu Rasulullah SAW setelah Madinah di bawah pemerintahan Baginda. Dia telah menyatakan keislamannya di hadapan Baginda.

Semenjak itu, lelaki itu, atau nama penuhnya Suraqah bin Malik bin Ju’syum menjadi pendukung setia gerakan dakwah walaupun hanya berkesempatan bersama dengan Baginda Rasulullah SAW hanya selama sembilan bulan sahaja.

Suraqah sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyebarkan Islam. Sehinggalah di zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab RA, kerajaan parsi telah tewas dan telah ditakluk oleh kerajaan yang dipimpin oleh khalifah kedua itu. Selain melaporkan kemenangan-kemenangan yang dicapai tentera Muslim, mereka juga menyimpan seperlima harta rampasan perang yang diperolehi selama mereka berjuang menegakkan kalimatullah.

Longgokan harta rampasan perang terlalu banyak melimpah ruah. Ketika itu, Khalifah Umar mengambil dua gelang kebesaran Kisra bin Hurmus lalu menyerahkannya kepada Suraqah. Saat itulah Suraqah teringat kembali janji Rasulullah SAW kepadanya. Setelah menanti sekian lama, janji itu terbukti akhirnya.- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *