Home » Persuasif » Berpolitik Tanpa Adab Jiwa kacau

Berpolitik Tanpa Adab Jiwa kacau

oleh Mohd Shauki Majid

MASYARAKAT Melayu yang diikat dengan nilai-nilai Islam sentiasa menjaga tutur kata, kerana mereka percaya dengan menggunakan bahasa yang baik akan membentuk masyarakat yang bermoral, beretika dan berakhlak mulia.

Mereka yang berakhlak mulia juga dikenali sebagai orang yang berbudi pekerti. Maka, susunan perkataan yang baik-baik telah memberikan sifat bangsa Melayu. Melayu itu, menurut Frank Sweethenham: Dia petah bercakap, berkata-kata dengan kiasan dan ibarat, suka menggunakan peribahasa dan kata-kata pujangga, suka berkelakar dan suka benar dengan jenaka.

Oleh kerana sifatnya yang mementingkan adab, “Orang Melayu pantang menerima sebarang penghinaan, padanya hal ini harus dihapuskan sekalipun dengan pertumpahan darah. Jika dia merasakan maruahnya dicemarkan sama ada hal itu betul atau tidak, dia menyimpan perasaan itu dalam hatinya sehingga dia dihantui dengan niat menuntut bela.

Atas sifat itulah apabila ada segelintir orang mempersoalkan maruah orang Melayu, orang itu akan dilihat sebagai “kurang ajar” dan “tidak berjiwa Melayu.” Meskipun orang Melayu menyimpan dendam disebabkan dimalukan atau diaib, dia akan bersabar dan jika kesabarannya hilang, dia akan melakukan apa sahaja termasuk menyerang sesiapa sahaja yang dianggapnya mempunyai kaitan atau boleh dikambinghitamkan.

Situasi ini telah berlaku dalam masyarakat Melayu.Mereka yang kecewa itu sanggup menggunakan kata-kata kesat, kasar dan menaburkan fitnah demi memperlihatkan dirinya sebagai orang yang teraniaya. Sebenarnya, pelaku tersebut merupakan orang yang cuba mengalihkan pandangan umum mengenai kesalahannya sendiri, menutup kekurangan diri dengan menyalahkan orang lain.

Secara psikologinya, orang sedemikian merupakan orang yang dilanda masalah dan jiwanya berlumur dengan konflik kepentingan serta kesamaran peluang. Dia sanggup menggunakan kata-kata kotor, memaki hamun orang lain kerana menganggap dirinya sahaja yang betul dan semua orang menjadi “penghalang cita-cita besarnya” sebagai buruk dan tidak mempunyai kebolehan.

Dalam Islam sikap sedemikian dikatakan sebagai orang yang bongkak dan riak. Orang yang bersikap sombong dan riak merupakan orang yang paling rugi baik semasa hidup ataupun selepas dia meninggal dunia.

Dalam setiap hubungan yang terjalin sama ada dengan Allah SWT atau sesama manusia, perhubungan itu terjalin dalam suasana yang akrab dan harmoni. Meskipun seseorang itu dilanda kecewa dan resah, dia tetap melafazkan doa memuji kebesaran Allah SWT agar dihapuskan segala apa yang ditanggungnya.

Dalam keadaan resah, kita diberikan kaedah terbaik untuk kembali tenang, iaitu mengingati sebanyak-banyaknya sifat kebaikan dan kemurahan Allah SWT. Dengan berkat itu maka segala masalah dapat diselesaikan dengan tenang dan penuh kenikmatan.

Islam amat melarang apa sahaja yang bersifat buruk termasuk mengeluarkan kata-kata kesat. Mereka yang gemar menggunakan kata-kata kesat adalah mereka yang amat gemar mengumpul dosa. Orang yang gemar mengumpul dosa adalah mereka yang sengaja menempah jalan ke neraka.

Jika pemimpin gemar bercakap dalam bahasa kesat, beliau akhirnya akan dilihat mati beragan kerana semakin lama semakin hilang sokongan. Mereka yang terus menyokong pemimpin tersebut hanyalah terdiri daripada mereka yang sempit akal dan tidak memahami hakikat kehidupan beradab.

Mereka yang kurang beradab juga merupakan orang paling lemah imannya. Kerendahan iman itu boleh menyebabkan seseorang itu kehilangan ketenangan jiwa, setiap masa rasa gundah dan resah bersarang. Akhirnya orang seperti inilah yang banyak sekali dilanda tekanan dan membawa kepada gangguan psikologi.

Nabi Muhammad SAW sentiasa memberikan teladan agar sentiasa menjaga bahasa lisan (lidah). Dan, orang Melayu turut menyambung teladan itu dengan membentuk kerangka percakapan, jangan mengamalkan budaya “lidah bercabang”, “berkata manis tetapi hati busuk”, “tanam tebu di bibir” dan sebagainya.

Ini membuktikan orang Melayu amat peka dengan pemilihan kata-kata, kerana kata-kata itulah yang boleh menyebabkan seseorang itu dilihat berbudi bahasa ataupun berperangai buruk.

Orang yang berperangai buruk sentiasa menggalakkan orang lain bermusuhan. Orang yang berperangai buruk sentiasa menganjurkan kutukan, fitnah dan berdusta dengan dirinya sendiri, kerana itulah dia sanggup menyembunyikan apa sahaja demi berusaha memperlihatkan dirinya sebagai terbaik, terhandal dan mampu mengubah situasi. Bayangan perubahan yang dianjurkan hanya bersifat sementara, dari perspektif kognitif tetapi selepas itu, perubahan yang dibawa lebih banyak membawa keburukan.

Apabila ada orang menyifatkan orang lain sebagai “anak babi”, “baghal”, “bahlol” dan sebagainya, secara automatiknya telah memberikan kesimpulan bahawa penutur itu sendiri merupakan mereka yang berjiwa kacau. Dia sudah tidak boleh memikirkan secara berhemah bagaimana untuk memecahkan persoalan, dia telah buntu dek dendam kesumatnya kerana hajatnya terhalang. Maka bagi menutupi resah dan gundah akibat kekecewaan, dengan menggunakan tutur kata yang kasar dan ketat, seakan-akan memberikan sedikit kelegaan.

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: Belum lurus keimanan seseorang itu sehingga lurus hatinya, dan belum lurus hatinya sebelum lurus lidahnya. Seseorang tidak boleh masuk syurga selagi ia belum dapat berbuat baik dengan jiran-jirannya.”

Orang yang menggunakan kata-kata kesat dan kasar sebenarnya sedang berhadapan dengan kekalutan jiwa. Dia sebenarnya sedang berperang dengan bayangan hitam yang ada dalam dirinya sendiri, kerana itulah sebenarnya. Bahasa yang kesat mencerminkan jiwa penuturnya yang dipenuhi dendam kesumat dan amat kacau.

 

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *