Home » Citra Yadim » Bicara Sakinah “ Keluarga Mithali Impian Kita”

Bicara Sakinah “ Keluarga Mithali Impian Kita”

PORT DICKSON 20 Okt. – Program Bicara Sakinah 2016 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Pejabat Baitulmal Daerah Port Dickson serta Pusat Kaunseling MAINS telah diadakan di Masjid Kariah Kampung Paya Port Dickson pada 12 Oktober lalu.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, YB Tuan Haji Abdul Rahman Mohd Redza.

Bicara Sakinah merupakan program berkonsepkan ceramah dan forum berbentuk santai yang mengetengahkan cadangan penyelesaian berkaitan isu-isu semasa yang melibatkan wanita, keluarga dan masyarakat.

Program ini juga mengupas peranan setiap individu dalam membangunkan model keluarga Islam yang boleh dicontohi di samping membina keluarga yang mempunyai keunggulan sahsiah dikalangan masyarakat serta peka terhadap isu semasa di persekitarannya.

Selain itu, program ini juga menggalakkan masyarakat dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan sekaligus menjadi platform melahirkan lebih banyak keluarga mithali.

Turut diadakan penyampaian bantuan kepada para penerima bantuan Baitulmal.

MAINS memperuntukkan sebanyak RM17,600 untuk diagihkan kepada 176 orang asnaf dan fakir miskin dari enam kariah iaitu dari Kampung paya, Lukut, Masjid Jamek Port Dickson, Bagan Pinang, Kampung Baru Sri Rusa dan Bandar Springhill serta sekitar daerah Port Dickson.

Hadir sama di dalam program tersebut Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Yusri Mohamad; Setiausaha MAINS, Tuan Haji Kamal Amran Kamarudin; Pemangku Perbadanan Wakaf MAINS, Tuan Haji Azzerol Effendi Abdul Kadir dan Ketua Kaunselor Pusat Kaunseling MAINS, Tuan Haji Norazman Amat.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *