Home » Analitis » Bersihkan organisasi dari hasad

Bersihkan organisasi dari hasad

SESEBUAH organisasi yang kuat bukan sahaja bergantung pada prestasi kerja dan ketekunan warganya, tetapi juga bebas hasad dengki.

Sejarah zaman berzaman membuktikan bagaimana antara penyakit hati paling digeruni kerana kemampuannya meruntuhkan umat ialah hasad.

Hasad atau istilah mudahnya dalam bahasa Melayu ialah dengki. Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitab masyhurnya Ihya’ Ulumuddin, hasad ialah satu perasaan iri hati yang inginkan agar nikmat atau kelebihan ada pada orang lain terhapus atau tidak berkekalan.

Sebab itulah penyakit hasad biasanya akan membawa kepada perlakuan buruk lain seperti adu-domba, kata-mengata, jatuh-menjatuh, fitnah-memfitnah, umpat-mengumpat, hinggalah menyemaraknya perasaan benci-membenci dalam masyarakat.

Nabi Muhammad SAW sendiri mengingatkan dalam banyak hadis berkenaan dengan penyakit hasad, antaranya: “Akan menular kepada kamu suatu penyakit umat terdahulu; hasad dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama.” (Hadis Sahih Riwayat At-Tirmizi)

Memang tepat sekali hadis Nabi SAW ini yang mengaitkan penyakit hasad dan benci-membenci ini dengan pisau cukur yang mampu mengikis agama dan umat Islam.

Malah jika ditelusuri sejarah kejatuhan setiap empayar dan tamadun kegemilangan Islam berpunca daripada nilai hasad yang begitu mengakar dalam diri pemimpin dan rakyat hinggakan saling jatuh-menjatuh, bahkan sanggup berkompromi dengan musuh hanya semata-mata mahu memenuhi nafsu serakah yang tiada sempadan kepuasan.

Pengalaman cetek penulis yang berada dalam pelbagai dunia dari akademik, politik, korporat hinggalah kini menerajui organisasi dakwah di peringkat kebangsaan turut berkesempatan menyaksikan bagaimana penyakit hasad yang menggejala, berjaya   meranapkan ukhuwah, bahkan memporak-perandakan sesebuah institusi.

Lebih malang apabila wujud manusia-manusia bertopengkan agama tetapi jiwa penuh hasad dengki hinggakan sanggup me’wakaf’kan diri setiap hari berfikir bagaimana untuk menjatuhkan orang lain. Seolah-olah jiwanya tidak akan tenteram selagi mana kenikmatan dan kelebihan dimiliki pihak yang dihasadnya tidak hilang.

Orang seperti ini hakikatnya mendustai agama kerana membantah kurniaan ALLAH kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya. FirmanNya: “Apakah patut mereka itu dengki kepada manusia disebabkan kelebihan yang ALLAH berikan kepada mereka?” (An-Nisa’: 54)

Seharusnya sebagai umat Islam kita mesti sentiasa beriman dengan prinsip qada’ dan qadar yang jelas mengisyaratkan bahawa setiap kelebihan dan rezeki yang dinikmati seseorang semuanya  telah ditentukan oleh ALLAH sejak azali.

Setiap anak Adam apabila ditiup roh ke dalam jasadnya maka telah ditetapkan empat perkara termasuk rezeki, ajal, jodoh dan bala yang menimpanya.

Bahkan ALLAH sendiri mengisyaratkan bahawa setiap manusia diberikan rezeki pada kadar berbeza-beza sebagaimana firmanNya: “Dan ALLAH telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya” (An-Nahl: 71).

Tiada guna melakukan tingkah  yang ingin meranapkan rezeki yang dinikmati seseorang seperti menabur fitnah dan mengadu domba kerana sesungguhnya perbuatan sedemikian sedikit pun tidak akan merugikan pihak yang didengkinya.

Sebab itulah Islam mengajar umatnya agar sentiasa berfikiran positif dan rasa cukup dengan apa yang diperoleh atau istilah syaraknya qona’ah. Sikap qona’ah pastinya akan menyuburkan  minda seseorang dengan nilai yang baik sehinggakan setiap tutur kata dan perilakunya terpancar seri dan sentiasa disenangi oleh orang sekelilingnya.

Yang lebih mustahak adalah mendapat keberkatan dan kerahmatan ALLAH hinggakan rezeki yang diperoleh diri sendiri mampu membahagiakan diri dan keluarga kerana setiap sen yang diperoleh bukan melalui jalan menjatuhkan orang lain.

Bagi yang menjadi mangsa hasad dan khianat, usahlah pula rasa gundah-gulana kerana sesungguhnya rezeki kita tidak sesekali ditentukan oleh tingkah dan olah manusia.

Semuanya telah ditentukan oleh ALLAH semata-mata. Jika sudah ditakdirkan ALLAH, buatlah macam mana sekalipun, nescaya manusia tidak sesekali mampu mengubahnya.

Mudah-mudahan dengan kesabaran kita, lambat-laun kebenaran pasti terzahir jua.

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *