Home » Analitis » Pas Kelantan boleh laksana hudud

Pas Kelantan boleh laksana hudud

SEMALAM penulis berkesempatan pulang ke kampung halaman di Kelantan dan singgah di sebuah kedai kopi pinggiran bandar Kota Bharu. Terdengar perbualan hebat meja bersebelahan mengenai perlaksanaan hudud di Kelantan.

Seorang daripada mereka dengan nada gembira menyuarakan rasa syukur membaca laporan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menegaskan di Parlimen Khamis lalu bahawa kerajaan yang diterajui parti Barisan Nasional tidak pernah menolak hudud sebagai hukum ALLAH, bahkan menurut Jamil Khir, Kerajan Pusat bersedia menyokong sekiranya ada negeri-negeri yang sudah bersedia untuk melaksanakan hudud.

Sebenarnya pendirian kerajaan mengenai hudud sebagaimana yang dipertegaskan Jamil Khir ini adalah rentetan soalan yang ditanya Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dan disokong Ahli Parlimen Barisan Nasional Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican dalam perbahasan itu.

Kenyataan itu menjelaskan pendirian kerajaan mengenai hukum hudud, bahkan mampu merungkai  persepsi terhadap Umno dan kerajaan yang selama ini  dituduh menolak hukum hudud, malah tidak kurang juga pihak yang sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum kafir dan murtad kepada kepimpinan Umno.

Jangan pula kita menafikan atau buat-buat lupa mengenai fakta yang menunjukkan bagaimana wakil-wakil rakyat Barisan Nasional selaku pembangkang di Kelantan turut menyatakan sokongan apabila Enakmen Jenayah Syariah Kelantan mula-mula dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada 1993.

Namun selepas itu enakmen hanya tinggal enakmen tanpa ada usaha serius untuk digazetkan bagi tujuan perlaksanaan. Aktivis Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK), Mohd Zawawi Awang dilaporkan Utusan Malaysia pada 16 November 2013 turut mendakwa, Sultan Kelantan telah berkenan menandatangani Kanun Jenayah Syariah II selepas Dun luluskan pada 1993, namun tidak dilaksanakan sehingga sekarang.

Itu pun hanya selepas 23 tahun dipersoalkan rakyat, kerajaan Pas sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji dan menilai mengenai perlaksanaan hudud di Kelantan.

Ironinya Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan sendiri pernah menyuarakan bahawa Kelantan hakikatnya sudah bersedia sepenuhnya melaksana hukum hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 sekiranya kerajaan Pas Kelantan menguatkuasakan undang-undang tersebut dalam masa terdekat.

Kenyataan ini dibuat Ketua Hakim Syarie negeri Datuk Daud Mohamad ketika menjadi ahli panel Wacana Pelaksanaan Hudud pada Oktober 2012 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim.

Beliau malahan turut menegur kerajaan Pas Kelantan kerana tidak pernah serius memberi penerangan kepada masyarakat mengenai hukum hudud sekalipun sudah meluluskan peruntukannya hampir 20 tahun lalu.

Tegas beliau juga kerajaan negeri tidak sepatutnya hanya lantang bercakap mengenainya pada waktu-waktu tertentu kerana ia boleh menimbulkan keraguan niat sebenar kerajaan Pas dalam melaksanakan hudud.

Sering kali juga Pas menuding jari kepada Umno yang didakwanya menghalang perlaksanaan tersebut.

Namun dengan perkembangan mutakhir sebagaimana pendirian kerajaan yang ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Khamis lalu, rakyat tentunya ternanti-nanti apakah Pas bersedia membawa usul di Parlimen bagi meneruskan perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah II yang didakwa mendapat sekatan Kerajaan Persekutuan.

Lebih menarik untuk kita juga ingin melihat reaksi teman-teman pakatan pembangkang, terutamanya DAP dan PKR mengenai isu ini. Apakah Karpal Singh sudah berjaya didakwahkan Pas untuk kembali meyakini kepentingan perlaksanaan hukum Islam di bumi Malaysia yang merupakan Negara Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Walau apa pun pendirian DAP dan PKR dalam isu hudud ini, sebagai parti yang memperjuangkan hudud, pemimpin Pas kini sudah boleh sujud syukur dengan jaminan Kerajaan Pusat yang dulunya didakwa sebagai halangan utama perlaksanaan hudud di Kelantan.

Mungkin kerajaan Pas Kelantan boleh jadi model negeri pertama melaksanakan hudud di Malaysia. Sudah tentu dengan kepakaran yang ada pada barisan ulama Pas, hudud mampu dijalankan dengan jayanya apatah lagi selepas lebih 20 tahun Enakmen Syariah (Hudud) diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Sebenarnya Pas juga boleh mendapatkan kepakaran pakar perlembagaan Dr Aziz Bari yang kini merupakan pimpinan PKR yang pernah menyuarakan bahawa tiada keperluan untuk Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan hudud untuk dilaksanakan di Kelantan.

Justeru tiada lagi kekangan dan halangan besar untuk Pas mulakan langkah melaksanakan hudud kerana bukan sahaja Kerajaan Pusat bersedia mendukung, malah Perlembagaan Persekutuan juga tidak perlu dipinda.

Apa yang penting hudud seharusnya tidak lagi menjadi bahan momokan politik murahan. Sebaliknya suatu iltizam untuk benar-benar melaksanakannya oleh setiap pemimpin politik beragama Islam tanpa mengira parti. Mudah-mudahan Pas dapat menyegerakan perlaksanaan hudud di Kelantan dan menjadi model kepada yang lain.

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *