Home » Citra Yadim » Betul boleh masuk masjid?

Betul boleh masuk masjid?

KULIM – “Betulkah boleh masuk masjid, bukan hanya untuk orang Islam saja?

“Bertahun tahun kami duduk di sini, ini pertama kali dapat jemputan seperti ini,” kata seorang penduduk bukan Islam di sini apabila diajak menyertai program Street Dakwah & Mosque Tour anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kedah.

Sebahagian komuniti bukan Muslim di kawasan ini berkongsi keterujaan yang sama apabila mereka dijemput menyertai program ini.

Ianya mendapat kerjasama Persatuan Cina Muslim Kulim,Ikram, Hidayah Centre Foundation, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Masjid Saidina Abu Bakar Kulim, Pusat Islam Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah,Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Universiti Kuala Lumpur,Gabungan Dakwah Malaysia,Institute Dakwah Training dan PERKIM Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Program dimulakan seawal jam 8 pagi dengan para peserta berhimpun di Masjid Saidina Abu Bakar untuk sarapan dan pembahagian kumpulan.

Selepas selesai pembahagian, para peserta mula bergerak ke kawasan masing masing untuk mula menyantuni komuniti bukan Muslim sekitar Kulim. Antara kawasan yang disantuni ialah Taman Tasik Kulim, Pasar Pagi Taman Selasih dan kawasan sekitar perumahan Taman Kenari.

Sebanyak 200 pek cenderamata yang mengandungi makanan, pamplet penerangan serta kad jemputan untuk jamuan diedarkan kepada komuniti bukan Muslim di sini.

Selesai mengedar jemputan untuk komuniti bukan Muslim, para peserta program kembali semula ke Masjid Abu Bakar untuk acara Mosque Tour.

Acara melibatkan masyarakat bukan Muslim ini bermula jam 12 tengahari selepas ketibaan mereka di masjid.

Mereka diberi penerangan tentang bahagian masjid, adab, fungsi serta lain lain peranannya dalam masyarakat Islam oleh ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

Pihak masjid juga menyediakan pakaian menutup aurat kepada para pengunjung ini sebelum membawa mereka masuk ke dalam dewan solat.

Majlis disudahi dengan solat Zohor berjemaah dan jamuan makan bersama tetamu bukan Islam.

Meskipun jumlah kehadiran peserta bukan Muslim pada program yang pertama kali diadakan oleh penganjur ini hanya sedikit, namun sebagai satu permulaan, ia dilihat satu usaha yang baik untuk menerangkan bahawa Islam adalah agama yang mengajak kepada perdamaian dan meraikan kepelbagaian.

Usaha YADIM Kedah ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan yang membawa pendekatan rahmah dan gagasan Rahmatan Lil Alamin bagi menonjolkan agama ini membawa rahmat untuk semua.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *