Home » Langit Terbuka » Bin Abdullah: Mahkamah Persekutuan tolak permohonan 20 pasangan untuk mencelah

Bin Abdullah: Mahkamah Persekutuan tolak permohonan 20 pasangan untuk mencelah

PUTRAJAYA 23 Jan.  – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan oleh 20 pasangan dan seorang ibu tunggal untuk dinamakan sebagai pihak dalam rayuan berhubung sama ada seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf boleh dibinkan dengan nama bapanya dan bukan berbinkan ‘Abdullah’.

Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim bagaimanapun memberitahu peguam Azhar Azizan Harun yang mewakili pasangan dan ibu tunggal itu, bahawa beliau boleh hadir sebagai amicus curiae (rakan mahkamah) dan berhujah dalam prosiding rayuan.

Beliau kemudian mengarahkan Azhar supaya membuat permohonan untuk beliau hadir sebagai amicus curiae dalam pendengaran rayuan pada 7 Februari tahun ini.

“Peguam dikehendaki memohon untuk hadir sebagai amicus curiae semasa prosiding,” kata Hakim Raus selepas menolak permohonan pencelah yang dikemukakan oleh pasangan dan ibu tunggal itu, yang mahu dinamakan sebagai pihak-pihak dalam rayuan itu.

Bersidang bersama beliau ialah Hakim-Hakim Mahkamah Pesekutuan iaitu Tan Sri Zainun Ali, Datuk Balia Yusof Wahi, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Terdahulu, Azhar memberitahu mahkamah anak guamnya, yang merupakan ibu bapa anak yang dianggap tidak sah taraf dan tidak dibenarkan untuk berbinkan bapanya dalam sijil kelahiran, mahu memohon untuk mencelah dalam rayuan itu. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *