Home » Langit Terbuka » Kelab dangdut kampung ganggu penduduk

Kelab dangdut kampung ganggu penduduk

Jarak kelab dangdut dengan masjid yang hanya 200 meter juga mengganggu jemaah yang mengadakan pelbagai program keagamaan di kawasan itu. Foto : Bernama

KUALA TERENGGANU 23 Jan. –  Ketenteraman penduduk di sebuah kampung di sini terganggu sejak lima tahun lalu dengan kewujudan sebuah ‘kelab dangdut’.

Penduduk juga berasa malu kerana dikatakan majoriti pelanggan kelab dangdut itu terdiri daripada golongan senja berusia lebih 60 hingga 70 tahun.

Walaupun meniti usia senja, mereka langsung tiada rasa malu apabila turut sama ‘naik daun’ melayan lagu dangdut yang membingitkan telinga dan disulami unsur lucah dengan tarian mengghairahkan oleh penghibur wanita yang berpakaian sendat dan seksi.

Tinjauan BH ke lokasi itu mendapati ramai pengunjung berusia sekitar 40 hingga 70 tahun asyik menari dan menyanyi di perkarangan ‘kelab dangdut’ dalam kawasan kampung itu, bermula jam 9 malam hingga jam 1 pagi.

Malah, ramai juga pengunjung yang bersama-sama menari di pentas selain tidak melepaskan peluang mendekati penyanyi wanita dan memberi tips.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Zaki, 41, berkata kawasan itu pada mulanya dijadikan tempat penganjuran aktiviti dikir barat sejak 20 tahun lalu, tetapi ia mula berubah wajah menjadi ‘kelab dangdut’ sejak lima tahun lalu.

“Aktiviti berdangdut diadakan sekerap tiga hingga empat kali seminggu dengan empat hingga lima penyanyi yang dibawa dari Kelantan.

“Jarak kelab dangdut dengan masjid yang hanya 200 meter juga mengganggu jemaah yang mengadakan pelbagai program keagamaan di kawasan itu,” katanya.

Zaki berkata, lebih memalukan apabila kebanyakan pengunjung yang datang ke kelab berkenaan terdiri daripada golongan warga emas.

“Setiap kali mereka mengadakan persembahan, memang suasana di kampung ini menjadi riuh dan tidak tenteram.

“Mana tidaknya, apabila mereka membuat persembahan lebih 100 hingga 200 pengunjung akan datang.

“Kebanyakan pengunjung bukan sahaja terdiri daripada penduduk kampung, malah dari daerah lain yang sanggup datang menyaksikan tarian dangdut yang disajikan penyanyi yang dibawa khas dari Kelantan,” katanya yang berharap kegiatan tidak bermoral di kampung itu dihentikan.

Seorang jemaah masjid yang hanya mahu dikenali sebagai Hafizi, 32, berkata aktiviti itu memberi pengaruh yang tidak baik kepada golongan muda termasuk kanak-kanak.

“Keadaan ini menimbulkan rasa tidak tenteram penduduk pada waktu malam. Malah, warga emas yang sepatutnya menasihati golongan remaja pula terbabit sama dalam aktiviti yang tidak berfaedah ini.

“Selain itu, saya juga bimbang dengan pengaruh yang akan diberikan kepada kanak-kanak yang masih bersekolah. Mana tidaknya ada juga ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke tempat yang tidak bermoral ini dan balik pada lewat malam,” katanya.

Beliau berkata, penduduk pernah menegur pemilik premis itu, tetapi teguran itu langsung tidak diendahkan.

“Saya sedih akibat daripada aktiviti berkenaan, nama kampung kami menjadi buruk dan kini dikenali sebagai ‘Kampung Terlara’.

“Saya harap pihak berkuasa bertindak dan tidak hanya memandang aktiviti ini sebelah mata kerana ia memberi kesan buruk kepada generasi baharu di kampung ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Kerajaan saring individu sampaikan ajaran Islam

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan saringan terhadap individu yang akan menyampaikan ajaran Islam di negara ini bagi mengekang penyebaran liberalisme yang berselindung

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *