SHAH ALAM 24 Dis. – Bagi ‘mengajar’ Amerika Syarikat (AS) dalam isu melibatkan Palestin, negara kita disaran untuk memboikot negara Uncle Sam itu.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Univeriti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, untuk permulaan Malaysia disaran untuk memulau acara rasmi AS dan orang kenamaan mereka.
“Kita mungkin tidak perlu putuskan hubungan diplomatik atau tutup kedutaan dan tak perlu boikot syarikat AS.
“Tapi kita perlu lobi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Asean untuk pulaukan acara rasmi kedutaan AS dan jangan diundang duta mereka dan ahli perniagaan AS ke acara negara.
Kini mungkin Malaysia juga perlu pulaukan Duta Besar AS dari turut hadir acara dan majlis rasmi negara,” katanya kepada Sinar Online.
Katanya lagi, semua duta negara Islam dan negara penyokong Palestin kena pulaukan duta dan para pegawai serta ahli peniagaan AS.
“Had dan minimakan interaksi dengan mereka,” katanya.
Sebelum ini tindakan, Presiden AS Donald Trump yang mahu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel menerima tamparan hebat apabila sebanyak 128 negara menyokong usul menolak keputusan AS itu.
Dalam pada itu mengulas mengenai keputusan itu, Md Shukri berkata, perkara itu jelas menunjukkan bahawa dunia prihatin dengan krisis kemanusiaan dan jenayah terancang penghapusan sebuah negara dan komunitinya.
“Keputusan 128 negara menolak tindakan Trump ibarat petunjuk bahawa Washington kini diambang susutan pengaruh dan penghormatan global terhadap polisi negara itu,” katanya.
Namun katanya, malangnya bagi dunia kerana amalan kuno Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang masih kekalkan kuasa veto membolehkan Trump merogol dan mencabul maruah majoriti negara secara langsung tanpa perlu takut.
“Kuasa Veto adalah diktaktor global yang lebih kejam dan keji. Dengan adanya kuasa Veto, jutaan manusia di Palestin dibiar terbunuh termasuk juga di lain-lain negara.,” katanya.
Katanya lagi, kuasa veto dipegang oleh lima negara termasuk AS kini bebas digunakan Trump dalam menjadikan Baitulmuqaddis ibu negara Israel jelas berperwatakan seperti Nero iaitu Kaisar Rome yang zalim dan gila. – SINAR HARIAN
KOMEN