Home » Langit Terbuka » Bola Sepak Arab Jadi Jenaka Piala Dunia

Bola Sepak Arab Jadi Jenaka Piala Dunia

NIZHNIY NOVGOROD – Tiada siapa meletakan harapan Mesir, Maghribi atau Arab Saudi akan menjuarai Piala Dunia tetapi penyingkiran awal mereka pada hari yang sama di Rusia menjadi malapetaka buat bola sepak Arab.

Tiada sebarang mata berjaya dipungut ketiga-tiga negara setakat ini – aksi terburuk kejohanan, dan hanya satu gol berjaya disempurnakan oleh mereka, itupun menerusi sepakan penalti.

Harapan terakhir negara Arab kini terletak di tangan Tunisia, yang berdepan tugas getir perlu mengalahkan calon juara, Belgium selepas kalah 1-2 kepada England dalam aksi pembukaan Kumpulan G.

Ramai peminat menjadikan penyingkiran awal negara Arab di Rusia sebagai bahan jenaka di media sosial, malah ada yang bergurau dengan mengatakan FIFA membawa maksud ‘Football Is not For Arabs’ (bola sepak bukan untuk Arab).

Ada yang mendakwa, bola sepak Arab sudah ketinggalan terlalu jauh di belakang Eropah dan Amerika Latin.

“Negara-negara Arab selalu berbeza pendapatan dalam segala hal tetapi bersetuju untuk meninggalkan Piala Dunia bersama,” tulis seorang lagi peminat bola sepak.

Arab Saudi paling mengecewakan apabila dibelasah 5-0 oleh Rusia, sebelum tewas 1-0 kepada Uruguay, yang gagal menunjukkan prestasi meyakinkan. Mereka akan bertemu Mesir dalam aksi terakhir, Isnin ini – keputusan yang tidak akan memberi sebarang makna.

Piala Dunia 2018 menjadi mimpi ngeri buat Mesir selepas tonggak utama mereka, Mohamed Salah dibelenggu kecederaan, manakala Maghribi menunjukkan aksi terpuji ketika tewas tipis kepada Iran dan Portugal.

Mesir kalah 0-1 kepada Uruguay dan 1-3 di tangan Rusia. Satu-satunya jaringan mereka disempurnakan Salah menerusi penalti.

Maghribi pula tewas 0-1 kepada Iran dan Portugal selepas tumpul di depan gawang. Mereka akan melengkapkan jadual perlawanan dengan menentang bekas juara, Sepanyol pada Selasa ini. – AFP

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *