Home » Langit Terbuka » Bono U2 gesa Suu Kyi berundur

Bono U2 gesa Suu Kyi berundur

NEW YORK 30 Dis. –  Penyanyi utama kumpulan U2, Bono, penyokong utama Aung San Suu Kyi ketika beliau dikenakan tahanan rumah satu ketika dulu, menggesa pemimpin Myanmar itu meletak jawatan susulan kempen maut ke atas Muslim Rohingya.

Penyanyi itu sebelum ini mengagungkan Suu Kyi menerusi lagu U2 pada 2000, ‘Walk On’, dengan meminta peminat memakai topeng pemimpin itu ketika kumpulannya mengadakan persembahan.

Namun, Bono mengakui, beliau kini berasa ‘mual’ dengan pertumpahan darah dan krisis pelarian negara terbabit.

“Saya hampir tidak percaya melihat apa yang berlaku, terutamanya pembersihan etnik.

“Ia benar-benar berlaku dan beliau (Suu Kyi) perlu meletak jawatan kerana tahu apa yang sedang berlaku.

“Beliau sekurang-kurangnya perlu bercakap lebih lantang. Jika rakyat tidak mendengarnya, beliau perlu bersedia untuk berundur,” katanya kepada majalah Rolling Stone dalam keluaran terbaharu.

Sesetengah pakar percaya, Suu Kyi membuat satu percaturan keputusan tidak mengambil risiko politik dengan bersuara lantang disebabkan Muslim Rohingya dibenci di negara majoriti Buddha Myanmar, selain beliau tidak mengawal tentera.

Awal bulan ini, tempat asal Bono, Dublin membatalkan anugerah diberikan kepada Suu Kyi bagi membantah cara beliau mengendalikan keganasan itu. – AFP

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *