Home » Langit Terbuka » Buang budaya ‘bodek’ ketika berkhidmat dalam kerajaan

Buang budaya ‘bodek’ ketika berkhidmat dalam kerajaan

Datuk Idris Haron (lima dari kanan) bergambar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar (enam dari kiri) sempena majlis persaraan SUK pada majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam negeri di Dewan Seri Negeri. Foto : Berita Harian

AYER KEROH 22 Jan. –  Semua penjawat awam di Melaka dinasihatkan supaya membuang budaya ‘bodek’ yang bekerja hanya semata-mata kerana mahu dipuji oleh ketua jabatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata sikap bekerja tanpa keikhlasan perlu dikikis ketika bertugas kerana ia akan mengundang satu situasi tidak baik dalam kalangan penjawat awam yang akhirnya menjadikan pekerjaan itu tidak memberi kesan kepada rakyat.

“Kepada penjawat awam saya tegaskan, kerja itu biarlah dengan kejujuran dan keikhlasan. Kalau setakat bekerja hanya mahu mendapatkan tepukan dibahu atau pujian dari bos (ketua), saya rasa ia tidak kekal.

“Bekerjalah dengan seikhlas hati kerana kalau buat kerja dengan betul, bos pasti suka, jangan hanya mahu mendapatkan pujian tetapi dalam masa sama tidak mahu meningkatkan prestasi kerja,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam negeri di Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar.

Idris turut meminta penjawat awam di negeri ini supaya menghindari budaya ‘gila glamour’ dengan memaparkan setiap kerja di media sosial, sedangkan hasil kerja berkenaan tidak memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

“Kita tidak boleh hanya nak jadi popular, tetapi rakyat hidup tidak teratur. Membayar (upah) kumpulan media sosial semata-mata mahu memuji kita, itu tak boleh berlaku. Kita mesti menjadi kerajaan yang tegas dan berkesan, pada masa sama disukai rakyat kerana kerajaan yang populis ini adalah kosong, ibarat buah yang cantik dikulit tetapi isinya tidak boleh dimakan.

“Saya mahu menegaskan, pentadbiran awam di Melaka mestilah mempunyai ketegasan, di samping popular dengan kecekapan dan keberkesanan kerja, bukan hanya popular dengan omong kosong. Buatlah apa sekali pun, yang penting jadilah kerajaan yang mampu menyediakan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Idris berkata, kerajaan negeri tidak mengambil berat segala persepsi dan gambaran buruk oleh parti pembangkang terhadap pentadbiran Barisan Nasional (BN) di negeri ini, sebaliknya komited untuk terus memberikan mutu perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, pembangkang sentiasa mencari jalan memburuk-burukkan kerajaan bagi meraih sokongan rakyat dan ia bukan perkara baru di negeri ini.

“Sebagai penjawat awam, kita hendaklah sentiasa bersemangat dalam memberikan perkhidmatan terbaik. Saya sendiri selaku Ketua Menteri tidak pernah sekalipun berputus asa bercakap soal tanggungjawab dan amanah dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Namun, gambaran yang diberikan sesetengah pihak kepada pentadbiran di bawah saya seolah-olah tidak mencerminkan aspirasi yang diluahkan, sekali gus memberi kesan negatif kepada pentadbiran kerajaan negeri serta politik,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *