Home » Langit Terbuka » Buang tatu secara percuma untuk mualaf

Buang tatu secara percuma untuk mualaf

KUALA TERENGGANU – Prihatin dengan masalah yang dihadapi kalangan mualaf, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Terengganu, dengan kerjasama Pusat rawatan kecantikan, Estetika Medispa cawangan Kuala Terengganu di sini menawarkan perkhidmatan pembuangan tatu secara percuma kepada  mereka menerusi kaedah laser.

Pengerusi Perkim Negeri Terengganu, Prof Dr Ramle Abdullah berkata, keprihatinan dan semangat kebajikan di kalangan masyarakat makin bersemarak dan nilai tanggungjawab sosial direalisasikan dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Menurutnya, dengan kerjasama Estetika Medispa, ‘Program Kembali Ke Fitrah’ dianjurkan memberi ruang kepada saudara kita khususnya yang ingin membuang tatu di badan masing-masing secara percuma.

“Biarpun ianya bukan satu kewajiban, ramai saudara kita yang berniat untuk membuang tatu terpaksa menyimpan hasrat mereka selama ini kerana kos pembuangan tersebut agak tinggi.

“Kini dengan bantuan pihak Estetika Medispa, impian tersebut direalisasikan secara percuma. Alhamdulillah, sesi pertama seramai empat orang saudara kita telah selesai menjalani rawatan tersebut.

“Dijangkakan beberapa sessi rawatan diperlukan untuk memadam semua tatu yang ada,” katanya.

Beliau melahirkan rasa terima kasih kepada kepada pihak Estetika Medispa dan juga Unisza yang membuka ruang untuk pelaksanaan program ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Estetika Medispa, Dr Abdul Haq Ab Wasa berkata, inisiatif di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan membantu mereka yang berhasrat untuk menghilangkannya bagi mengelak prasangka dalam menjalani perubahan kehidupan  namun berdepan kekangan kos yang tinggi.

Katanya, berdasarkan harga pasaran, caj yang dikenakan bagi khidmat itu adalah antara RM500 ke RM1,000 bagi setiap sesi dan kebiasaannya perlu dilakukan beberapa kali bergantung kepada saiz dan warna tatu di tubuh seseorang.

“Idea untuk melakukan CSR ini timbul kerana kami memiliki mesin Q-Switch Nd:Yag laser yang digunakan bagi rawatan kecantikan di sini yang turut mempunyai fungsi membuang tatu, jadi kami terpanggil untuk menawarkan perkhidmatan ini kepada golongan mualaf.

“Menerusi kerjasama Perkim cawangan Terengganu, kami berjaya merealisasikan inisiatif tersebut apabila seramai empat orang mualaf tampil untuk membuang tatu mereka dalam program kembalai ke Fitrah,” katanya.

Abdul Haq berkata, rawatan menggunakan laser bagi memecahkan pigmen warna sekali gus memudarkan tatu memakan masa antara 15 minit hingga 45 minit bagi setiap sesi.

Katanya, kulit pelanggan akan disapu terlebih dahulu dengan krim sebelum dan selepas menjalani rawatan bagi mengelakkan keradangan dengan sesi seterusnya hanya boleh dilakukan kira-kira sebulan kemudian.

“Ekoran kejayaan program yang dirintis ini, kami menerima banyak permintaan daripada orang ramai justeru khidmat buang tatu secara percuma kepada mualaf ini akan turut diperluaskan ke lokasi Estetika Medispa lain di Kemaman, Shah Alam, Bangi, Klang, Pulau Pinang, Kuantan dan Kota Bharu,” katanya.

Sementara itu, seorang mualaf dari Sarawak, Adam Jose Abdullah, 50, berkata, dia menyambut baik inisiatif yang diambil pusat rawatan kecantikan tersebut yang sekali gus berpeluang menunaikan hasratnya sejak 1990-an lagi sebelum memeluk Islam pada 2011.

“Saya pernah menjalani tiga sesi buang tatu menggunakan laser di Seremban pada tahun 1996 dan 1997 dengan caj RM1,000 untuk setiap sesi. Jadi saya tangguhkan hasrat menghilangkan keseluruhannya, dan apabila Perkim beritahu tentang perkhidmatan percuma ini pastinya saya tidak mahu melepaskan peluang,” katanya.

Bagi mualaf lelaki dan wanita yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan ini, boleh menghubungi Pegawai Pemasaran Estetika Medispa, Mohd Ridzuan Muhammad di talian 017-9348974.- SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *