Home » Langit Terbuka » Bukan Islam tidak berhak masuk campur

Bukan Islam tidak berhak masuk campur

KUALA LUMPUR 18 Julai – Darell Leiking boleh disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 jika kenyataan Naib Presiden Parti Keadil­an Rakyat (PKR) itu yang mempertikaikan khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sempena Aidilfitri lalu mempunyai unsur hasutan.

Presiden Persa­tuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, orang bukan Islam tidak perlu mencampuri urusan agama lain memandangkan Rang Undang-Undang Persendirian mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah (Akta 355) yang disen­tuh dalam teks khutbah itu hanya terpakai untuk orang Islam sahaja.

“Pindaan Ak­ta 355 bagi memartabatkan Mahkamah Syariah ini jika diluluskan hanya akan melibatkan kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam sahaja, iaitu orang Islam yang berzina, orang Islam yang minum arak. Hanya orang Islam sahaja yang akan dihukum sebat. Langsung tidak melibatkan bukan Islam. Kenapa mereka bukan Islam perlu cemas atau risau?

“Kesalahan mencuri, rogol, merompak yang terkandung di bawah Kanun Keseksaan yang terpakai kepada semua yang berada di bumi Malaysia ini tidak akan dipinda. Jadi, tiada siapa yang akan kena potong tangan, sama ada orang Islam atau bukan Islam. Maka, orang Cina, India dan seluruh bukan Islam tidak perlu gundah gulana,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 7 Julai lalu, Darell dilaporkan te­lah memuat naik status menerusi akaun Facebook peribadi beliau, yang antara lain kandungannya mempertikaikan khutbah yang dikeluarkan oleh JAIS sempena Aidilfitri 6 Julai lalu yang ada menyentuh mengenai usaha memartabatkan Mahkamah Syariah menerusi usul Rang Undang-Undang Persendirian mengenai Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, masyarakat bukan Islam tidak harus masuk campur atau mengganggu segala urusan berkaitan agama Islam termasuk khutbah yang merupakan ritual Islam yang disampaikan pada hari Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha.

Katanya, ini memandangkan umat Islam tidak pernah campur tangan dalam ritual agama lain malah segala amalan dan kepercayaan mereka dihormati dan bebas di­amalkan.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang bukan Islam tidak berhak untuk mempertikai khutbah semata-mata tidak bersetuju dengan isi kandungannya yang menyentuh mengenai usaha mempertingkatkan serta memartabatkan institusi perundangan Syariah.

“Mereka perlu mengkaji sedalam-dalamnya bukan memainkan sentimen berhubung dengan usaha memperkasakan institusi perundangan Syariah.

“Hak orang Islam untuk mengamalkan agamanya adalah dijamin Perlembagaan Persekutuan dan mesti dihormati di samping ia tidak sedikit pun mengganggu kebebasan orang bukan Islam kerana Mahkamah Syariah dan perundangan Islam hanya terpakai kepada orang Islam sahaja di Malaysia,” katanya. -www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *