Home » Langit Terbuka » NGO Islam sokong bidang kuasa Mahkamah Syariah dipinda

NGO Islam sokong bidang kuasa Mahkamah Syariah dipinda

KUALA LUMPUR 18 Julai – Me­nyahut seruan agar umat Islam berpegang kepada tali-tali Allah, sebanyak 76 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam daripada seluruh negara menyatakan sokongan kepada usaha memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui pindaan terhadap Akta 355.

Tanpa mengenal sempadan batasan politik, kesemua NGO terbabit berkumpul di Pusat Islam bersama-sama kepemimpinan Pas yang diketuai Presidennya sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi menjelaskan kepada rakyat me­ngapa perlu dan pen­tingnya kuasa Mahkamah Syariah diperkasakan.

Antara NGO yang hadir ialah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim); Kongres Rakyat; Sekretariat Ummat; Ikatan Muslimin Malaysia (Isma); Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Yang Dipertua Yadim, Dr. Yusri Mohamad berkata, berkata, usul bagi meminda Akta 355 untuk memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah walaupun dibuat oleh Abdul Hadi dan bukannya pemimpin Barisan Na­sional (BN), perlu disokong semua pihak khususnya umat Islam.

Katanya, mana-mana pihak yang memilih untuk menentang usaha tersebut dengan mencipta pelbagai hujah sebenarnya hanya mencari alasan untuk berpaling daripada tuntutan agama iaitu memperjuangkan syiar Islam.

“Berbincanglah tanpa berpan­dukan emosi atau prejudis yang tidak menentu, (sebaliknya) ma­rilah kita sama-sama menilai lang­lah ini secara zahir dan jangan cuba mencari perkara yang was-was (menuduh ada permainan politik),” katanya ketika berucap dalam majlis Himpunan NGO-NGO tersebut, semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Sekretariat Ummat, Aminuddin Yahya, yang turut berucap pada majlis tersebut berkata, usaha untuk meluluskan rang undang-undang 355 tidak semudah disangka kerana beliau percaya ramai dalam kalangan pemimpin Melayu di Dewan Rakyat tidak akan menyokong disebabkan kepentingan politik.

“Pemimpin Melayu beragama Islam yang diberi mandat di Parlimen, tidak semua akan menyo­kong rang undang-undang ini ke­rana ada antaranya berfahaman liberal dan sebagainya,” kata Aminuddin.

Sementara itu, Pengerusi Kongres Rakyat, Mohd. Azmi Abdul Hamid pula berkata, rang undang-undang 355 harus digunakan sepenuhnya oleh pihak berwajib untuk mendidik rakyat agar pemikiran mereka tidak terpesong dengan pandangan-pandangan bersifat liberal.

Bagi menjayakan maksud tersebut katanya, kerajaan perlu memberi perspektif baharu kepada undang-undang syariah di negara ini selari dengan usaha memperkasakan syiar Islam dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

artikel dan gambar dari https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *