Home » Langit Terbuka » Bukan milik Singapura

Bukan milik Singapura

Rekod komunikasi Pulau Batu Puteh antara dorongan ke ICJ

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Penemuan rekod komunikasi antara pemimpin terting­gi British pada lewat 1950-an yang menyatakan Pulau Batu Puteh bukan milik Singapura dipercayai salah satu faktor mendorong Malaysia memohon semakan semula dalam kes tuntutan bertindih terhadap pulau tersebut.

Timbalan Pengarah Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sufian Jusoh (gambar) mendakwa, Singapura juga mengetahui mengenai rekod komunikasi tersebut tetapi mereka menyembunyikannya selama ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga pakar undang-undang antarabangsa percaya Malaysia mempunyai pe­luang cerah dalam proses semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tersebut.

“Rekod membabitkan pemim­pin tinggi British di Singapura ketika itu secara ringkasnya menyatakan bahawa Pulau Batu Puteh bukan milik Singapura. Ini merupakan bukti yang tidak pernah diketahui oleh Malaysia selama ini.

“Sekiranya Singapura tiada dokumen sokongan lain untuk ‘melawan’ bukti baharu dikemukakan Malaysia ini, dipercayai keputusan yang sangat positif akan memihak kepada negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jumaat lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberitahu, kerajaan telah memfailkan permohonan semakan keputusan ICJ dalam kes tuntutan Pulau Batu Puteh.

Mohamed Apandi berkata, permohonan tersebut difailkan di ICJ di The Hague, Belanda selepas penemuan fakta baharu yang boleh memberi kesan terhadap keputusan sebelum ini yang memihak kepada Singapura.

Mengulas lanjut, Sufian menjelaskan, sekiranya keputusan memihak kepada Malaysia, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada Singapura khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif negara itu.

Katanya, ketika ini, Singapura menikmati Zon Ekonomi Eksklusif yang terletak kira-kira 200 batu nautika dari pantai negara itu disebabkan oleh pemilikan Pulau Batu Puteh.

“Sekiranya diputuskan Pulau Batu Puteh bukan milik Singapura, sudah tentu memberi kesan terhadap Zon Ekonomi Eks­klusif dinikmati mereka memandangkan jarak persempadanan negara itu kembali kepada 12 batu nautika dari pantai berbanding 200 batu nautika ketika ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Madya Dr. Mohd. Hisham Mohd. Kamal berkata, Malaysia cukup yakin dengan bukti yang dikemukakan kepada ICJ berhubung kes tersebut.

“Kos yang diperlukan untuk membawa semula kes ini bukan sedikit, manakala masa yang diperlukan juga bukannya pendek. Apabila Malaysia tampil mengemukakan fakta baharu, sudah mesti ada bukti yang kukuh,” ujarnya.

https://www.utusan.com.my

 

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *