Home » Citra Yadim » Cabaran getir wakaf pendidikan

Cabaran getir wakaf pendidikan

SEJARAH Islam jelas membuktikan bahawa wakaf dapat menjadi sumber dana utama bagi dunia pendidikan. Terdapat banyak contoh wakaf berkenaan, sama ada dilaksanakan secara individu, institusi ataupun kerajaan.

Antara institusi wakaf di beberapa buah negara Islam yang berjaya dan terkenal adalah Universiti al-Azhar, Mesir, Madrasah Nizamiyyah, Iraq; Madrasah Al-Junied, Singapura dan Yayasan Darunnajah dan Universiti Islam Indonesia di Indonesia.

“Di Malaysia, Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya adalah contoh terbaik bagaimana penjanaan dana wakaf pendidikan tinggi dilaksanakan.

“Begitu juga dengan langkah kerajaan menubuhkan agensi seperti Yayasan Wakaf Malaysia dan Perbadanan Wakaf Selangor bagi mengawal selia dan melaksanakan projek wakaf secara sistematik,” kata Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Amaludin Ab. Rahman ketika berucap dalam Bengkel Pendidikan Islam Nasional 2017 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada bengkel anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) tu, beliau membentangkan kertas kerja bertajuk, ‘Wakaf Sebagai Instrumen Untuk Memajukan Pendidikan Ummah’.

Seminar sehari itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Yadim, Dr. Yusri Mohamad. Yang turut hadir, Pengerusi Kluster Pendidikan MAIM, Dr. Ahmad Amir Abdullah.

Bagaimanapun, Amaludin dalam kertas kerjanya mengakui bahawa dalam melaksanakan wakaf itu wujud beberapa kekangan atau cabaran yang perlu ditempuhi.

Antaranya, kata beliau, tahap pendedahan dan pemahaman masyarakat terhadap amalan itu sangat rendah apabila masih membayangkan amalan wakaf hanya berorientasikan tanah terbiar, pembinaan masjid atau kubur sahaja.

“Masyarakat Islam seharusnya menyedari konsep wakaf pendidikan adalah bertujuan untuk membiayai sesebuah institusi pendidikan dan tidak begitu mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada kerajaan atau orang ramai.

“Jadi bagi mengembangkan dana wakaf itu, sesebuah institusi perlu mengembangkannya melalui pelaburan dalam institusi kewangan Islam seperti penerbitan sukuk (instrumen kewangan Islam), wakaf amanah pelaburan hartanah Islam (I-REIT) dan sebagainya,” katanya.

Di samping itu, institusi wakaf turut kurang mendapat sambutan dalam pasaran kerana usaha pemasaran oleh institusi wakaf tidak memberangsangkan.

Kerajaan atau pihak institusi wakaf itu sendiri perlu memasarkan produk wakaf ini sebagai satu agenda terpenting bagi memastikan institusi wakaf boleh berkembang seiring dengan pasaran global.

“Kekurangan kakitangan dan tiada pengkhususan kerja serta kepakaran dalam mengurus institusi wakaf turut menyelubungi institusi wakaf di negara ini.

“Sepatutnya, pengurusan secara profesional ke atas harta wakaf sangat penting bagi membuka peluang baharu dan meningkatkan kualiti serta imej institusi wakaf itu sendiri,” katanya.

MARTABATKAN 
IMEJ TAHFIZ

Dalam masa sama, usaha untuk mengubah imej negatif madrasah tahfiz pada pandangan dan tanggapan masyarakat umum perlu juga diberikan perhatian sewajarnya dalam usaha menggalakkan orang ramai berwakaf.

Usaha itu perlu, kerana menurut Timbalan Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Malaysia, Prof. Madya Musa Ahmad, realitinya majoriti masyarakat membayangkan pondok tahfiz adalah dalam keadaan daif dan sistem pengajiannya diragui daripada aspek kualiti serta potensi peluang masa depan.

“Hal sedemikian akan menyukarkan pelajar lepasan tahfiz untuk mendapat pekerjaan terutama dalam bidang profesional kecuali menjadi imam masjid, bilal atau tugas-tugas berkaitan dengan aktiviti keagamaan.

“Malah sehingga hari ini, sebenarnya masih wujud sindiket mempergunakan pelajar sekolah tahfiz untuk mengutip derma di stesen minyak, restoran atau kawasan tumpuan orang ramai bagi pelbagai tujuan seperti pembiayaan pengajian dan pengurusan segelintir sekolah tahfiz,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pendidikan Sekolah Pondok Dan Madrasah Tahfiz al-Quran Di Malaysia: (Realiti Dan Relevan).

Musa turut memberitahu, realiti semasa memperlihatkan bahawa pusat pengajian pondok, sekolah agama dan institusi tahfiz menghadapi beberapa kelemahan antaranya aspek pengurusan yang lemah, kurang tersusun, kekurangan infrastruktur selain kemudahan tidak memuaskan.

Di samping itu, mereka menghadapi masalah pengurusan personel dan sumber kewangan yang terhad kerana sukar untuk mendapatkan dana sumbangan.

“Semua isu dan masalah dihadapi oleh madrasah tahfiz ini adalah berpunca daripada kelemahan serta kepincangan barisan pucuk kepimpinan pondok atau madrasah tahfiz itu sendiri yang perlu diambil perhatian,” katanya.

– https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *