Home » Langit Terbuka » “Bukan selalu dapat sambut Tahun Baharu Cina di masjid”

“Bukan selalu dapat sambut Tahun Baharu Cina di masjid”

Majlis serba sederhana namun meriah itu mendapat sambutan masyarakat Cina yang rata-rata menyifatkan ia satu pengalaman berharga. - Foto : FMT

TASEK GELUGOR: Buat pertama kalinya, sebuah masjid di Tasek Gelugor, Pulau Pinang mengambil inisiatif menganjurkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina bagi meraikan masyarakat Tionghua di kawasan berkenaan.

Majlis serba sederhana namun meriah itu mendapat sambutan masyarakat Cina yang rata-rata menyifatkan ia satu pengalaman berharga kerana diraikan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Tasek Gelugor.

Salah seorang yang hadir, penyelia kilang, Tan Chooi Teit , 51 tahun, berkata dia gembira sebaik menerima jemputan daripada pihak kariah masjid yang menganjurkan program untuk meraikan perayaan tersebut.

Beliau yang hadir bersama ahli keluarga  teruja kerana diraikan dalam majlis tersebut malah tidak menyangka turut dibawa melawat kawasan sekitar masjid bagi merasai pengalaman berada di dalam masjid.

“Ini memang pengalaman yang bagus buat saya dan keluarga. Saya berharap hubungan antara kedua-dua agama iaitu Islam dan Buddha akan terus dipereratkan melalui program sebegini,” katanya.

Bagi jurulatih kecergasan, Ooi Chooi Beng, 36, keunikan masjid mendorong dirinya mendekati agama Islam hingga mengambil langkah memeluk agama suci itu sejak lima bulan lalu.

Jelasnya, inisiatif yang diambil pihak kariah masjid dalam menganjurkan program dengan meraikan orang bukan Muslim patut dicontohi serta diperbanyakkan pada masa akan datang berikutan manfaatnya yang begitu luas serta menyekat salah faham terhadap institusi masjid.

“Program sebegini amat bagus sekali kerana dapat eratkan hubungan Muslim dan bukan Muslim,” katanya.

Sementara itu, pengerusi masjid berkenaan, Khairul Anuar Musa, berkata penganjuran program berkenaan adalah satu bentuk dakwah yang cuba ditekankan pihaknya dalam usaha membuka minda bahawa tempat beribadat itu bukan untuk orang Islam semata-mata.

“Program ini dibuat bagi mendekatkan orang Cina kepada institusi masjid dan mendedahkan mereka tentang Islam,” kata Khairul.

Beliau berharap program sedemikian akan diteruskan di masa depan dan menjadi contoh kepada pihak lain  yang berminat menganjurkan majlis yang sama bagi mengeratkan hubungan dikalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. – ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *