Home » Langit Terbuka » Bukti baharu China dera etnik Uighur di Xinjiang

Bukti baharu China dera etnik Uighur di Xinjiang

Pihak berkuasa China menahan lebih sejuta etnik Uighur dan minoriti Islam lain dalam rangkaian pusat tahanan rahsia dan penjara di Xinjiang. Foto AP

Beijing – Dakwaan China menganiaya minoriti Islam kembali menjadi agenda global selepas sejumlah besar dokumen yang mengisahkan penderaan muncul semasa lawatan kontroversi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke wilayah itu.

Tindakan keras didakwa dilakukan Beijing terhadap penduduk Uighur di negara itu kini mendapat perhatian masyarakat antarabangsa dan gesaan supaya tindakan diambil semakin lantang.

Pejuang hak asasi manusia menuduh Parti Komunis yang memerintah China melakukan penderaan meluas terhadap Uighur dan sebahagian besar etnik beragama Islam yang berbahasa Turki di wilayah barat Xinjiang.

Malah, Amerika Syarikat (AS) dan penggubal undang-undang di negara Barat lain sudah pergi lebih jauh dengan mendakwa China melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ terhadap kumpulan minoriti.

Namun, Beijing berkata tindakannya di rantau itu hanya untuk menghapuskan keganasan dan membangunkan semula ekonomi antara kawasan termiskin, sekali gus menafikan dakwaan pembunuhan beramai-ramai, menggelarnya sebagai ‘pembohongan abad ini’.

Penyelidik berkata, pihak berkuasa China menahan lebih sejuta etnik Uighur dan minoriti Islam lain dalam rangkaian pusat tahanan rahsia dan penjara di Xinjiang.

Beijing pula mendakwa ia adalah sekolah latihan vokasional yang dihadiri secara sukarela, tetapi bekas tahanan mendakwa dirogol, diseksa dan dipaksa indoktrinasi politik di dalam kemudahan terbabit.

Berdasarkan semakan AFP ke atas dokumen kerajaan pada 2018, pengawal dilengkapi gas pemedih mata, senapang pegun dan belantan berpaku mengawal di pusat dikelilingi wayar berduri dan kamera inframerah.

Semua pendedahan itu dibuat ketika Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet, dibenarkan kerajaan China melawat wilayah Xinjiang, yang disifatkan sesetengah pihak sebagai usaha Beijing untuk menutup dakwaan pencabulan, keganasan dan penderaan.

Sementara itu, aktivis mengadu wanita etnik minoriti Islam dimandulkan secara paksa bagi mengurangkan jumlah mereka di masa depan selain memaksa etnik berkenaan meninggalkan amalan agama, budaya dan bahasa tradisi mereka.

Malah, ada etnik Uighur mendakwa mereka dilarang bertutur bahasa sendiri dan meninggalkan ajaran agama termasuk bersembahyang atau memiliki buku agama, malah tidak dibenarkan berjanggut panjang.

Sejumlah 16,000 masjid Xinjiang, sekitar dua pertiga daripada jumlah keseluruhan, dimusnahkan atau dirosakkan kerana dasar baharu kerajaan yang diluluskan sejak 2017. – AFP

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *