Home » Langit Terbuka » Bukti baharu rejim Bashar al-Assad guna senjata kimia

Bukti baharu rejim Bashar al-Assad guna senjata kimia

ALEPPO, 29 Sept. – Human Rights Watch (HRW) mengetengahkan bukti baharu yang membuktikan rejim Syria menggunakan senjata kimia dalam dua serangan terbaru di Aleppo yang menyebabkan lima orang awam terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Sehubungan itu, HRW – kumpulan pemantau hak asasi manusia – menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam serangan itu dan membawa rejim Syria ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Timbalan Pengarah Kecemasan HRW, Ole Solvang berkata, walaupun selepas PBB mengesahkan Syria bertanggungjawab melakukan serangan menggunakan senjata kimia, rejim itu tidak berhenti melakukan jenayah berkenaan.

“Majlis Keselamatan PBB boleh menghalang kekejaman pada masa depan dengan memastikan rejim Assad berdepan akibat sebenar kerana mengetepikan resolusi Majlis Keselamatan,” katanya.

Bukti yang diperoleh HRW menunjukkan dua kawasan kejiranan di wilayah dikuasai penentang Assad di Aleppo diserang menggunakan agen kimia pada 10 Ogos dan 6 September lalu.

Berikutan serangan itu, mangsa mengalami masalah pernafasan, batuk serta kulit dan mata merah.

Tiga kanak-kanak antara lima yang terbunuh dalam serangan itu. Mereka tidak sedarkan diri dan tidak memberi tindak balas apa-apa, kata aktivis dan doktor.

Minggu lalu, Majlis Keselamatan PBB memberi tempoh sebulan lagi kepada panel siasatan penggunaan senjata kimia di Syria bagi melengkapkan siasatan mengenai siapa yang bertanggungjawab melakukan serangan klorin.

Bulan lalu, panel berkenaan dalam laporan awalnya menyatakan rejim Syria melakukan sekurang-kurangnya dua serangan senjata kimia pada 2014 dan 2015, manakala militan IS pula menggunakan gas mustard sebagai senjata.

Ia adalah kali pertama siasatan pihak antarabangsa yang menuding jari menyalahkan kerajaan rejim Presiden Bashar al-Assad selepas berkali-kali dinafikan oleh Damascus. – Agensi

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *