Home » Langit Terbuka » Buku Zaid Ibrahim, Benz Ali diharamkan

Buku Zaid Ibrahim, Benz Ali diharamkan

KUALA LUMPUR, 28 Dis — Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku pemimpin DAP Datuk Zaid Ibrahim dan aktivis sosial Benz Ali.

Pengharaman `Assalamualaikum: Observations on the Islamisation of Malaysia’ karya bekas menteri itu diwartakan pada 19 Disember lalu.

Begitu juga buku `Antithesis’ aktivis tersebut, ia diwartakan pada tarikh yang sama setelah ditanda tangan Menteri Dalam Negeri pada 4 Disember lalu.

Buku itu diterbitkan oleh syarikat Zaid, ZI Publications, pada 2015. Sementara karya Benz diterbitkan oleh syarikat indie popular, DuBook pada 2014.

Selain itu, buku `Agama Masa Depan: Perspektif Filsafat Perennial’ karya Profesor Komaruddin Hidayat dan Muhamad Wahyuni Nafis turut diharamkan. Ia diterbitkan oleh Paramadina, Jakarta pada 1995.

Ketiga-tiga buku ini dipercayai mengulas isu-isu yang berkaitan agama Islam, agamawan atau pihak berkuasa agama.

Menurut warta tersebut, tiga buku ini “mungkin memudaratkan ketenteraman awam” dan “mungkin menggemparkan fikiran orang ramai”, maka ia “dilarang mutlak di seluruh negara”.

Beberapa bulan lalu, buku kartunis politik Zunar, sasterawan Faisal Tehrani dan ustaz Wan Ji Wan Hussin diharamkan.

Buku kartun `Sapuman: Man of Steal’ karya kartunis itu, yang menggunakan nama Wan M Deebee, diwartakan awal Oktober lalu.

Warta pengharaman `Aku___, Maka Aku Ada!’ karya Faisal dan `Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi’ tulisan Wan Ji dibuat pada 28 September lalu.- Malay Mail Online

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *