Home » Ensiklopedia » Bulan Dakwah

Bulan Dakwah

Kesan yang paling nyata hasil daripada pelaksanaan program bulan dakwah ini ialah pengertian dakwah dan konsepnya dapat didedahkan dan dapat difahami dan dimengerti oleh orang ramai

Bulan Dakwah merupakan salah satu program mega Yadim dalam usaha memperluaskan dakwah Islam ke pelosok negara. Program yang telah dimulakan pada tahun 1978 ini, telah memberikan impak kepada masyarakat sehingga kini.

Pada tahun tersebut, program yang diberi nama Bulan Dakwah Semalaysia ini telah berlangsung sepanjang bulam Muharam 1399. Program ini telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Tun Husein Onn di bangunan Parlimen dan perasmian penutupnya oleh YAB Tun Mahathir Mohamed, Timbalan Perdana Menteri di Dewan Solat Masjid Negara dengan penuh gemilang dan bersejarah. Kira-kira dua ribu jemputan, tetamu kehormat, perwakilan negara-negara asing dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan hadir dalam majlis tersebut.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sama ada di peringkat pusat, peringkat negeri, badan-badan dakwah sukarela dan pusat-pusat pengajian tinggi. Antaranya ialah Pameran Bulan Dakwah, Seminar Perundangan Islam, Seminar Islam dan Sebaran Am dan Seminar Islam dan Keselamatan Negara.

Seruan-seruan suci supaya kembali ke jalan Allah bergema di mana-mana bermula dari Perlis hingga ke Sabah termasuk ke kawasan pedalaman. Akhbar-akhbar tanah air setiap hari memuatkan rencana-rencana agama yang berbeza. Di samping, berlaku perubahan dalam siaran radio dan televisyen. Lagu-lagu dakwah dan lagu tema Bulan Dakwah “Islam Menjamin Keselamatan Ummah” diperdengarkan pada setiap kali pertukaran rancangan.

Kesan yang paling nyata hasil daripada pelaksanaan program Bulan Dakwah ini ialah pengertian dakwah dan konsepnya dapat didedahkan dan dapat difahami dan dimengerti oleh orang ramai. Masyarakat mula bercakap tentang dakwah dan kesannya dengan penuh jujur dan simpati. Tidak timbul lagi soal tidak senang hati dan berniat serong terhadap perkembangan dakwah.

“Pelaksanaan dakwah ini dapat memainkan peranan bukan saja dapat meningkatkan takwa dan iman, tetapi mengharapkan juga bahawa pelaksanaan bulan dakwah dapat melahirkan rakyat yang berdisiplin, pegawai- pegawai yang dedikasi dan pemimpin-pemimpin yang amanah, jujur dan ikhlas dalam menjalankan tugas masing-masing untuk memenuhi cita- cita agama, bangsa dan negara”. Tun Syed Nasir Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Bulan Dakwah.

“Bahawa pembangunan fisikal tanpa diserapi dan disulami dengan pembangunan rohaniah dan lain-lain usaha pembentukan akhlak tidak akan mendatangkan manfaat yang besar kepada rakyat dan negara. Pemisahan antara kedua pembangunan ini akan hanya membawa kepada akibat yang buruk yang boleh menjejaskan kemajuan, keamanan, kemakmuran dan keselamatan yang dinikmati sekarang”. Tun Husein Onn, Perdana Menteri Malaysia. – ABABIL

Artikel Berkaitan

Tiga mahasiswa USIM dakwah di New Zealand

SEREMBAN – Tiga mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan perjuangan dakwah penyebaran syiar Islam melalui latihan industri di Masjid Al Noor,

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *