Home » Langit Terbuka » Jangan ekstrem dalam berdakwah

Jangan ekstrem dalam berdakwah

Rakaman video di media sosial, seorang lelaki bertindak memukul wanita di satu perhentian bas hanya kerana tidak menutup aurat dengan sempurna.

SHAH ALAM 15 Jan. – Dakwah adalah menyeru dan mengajak umat manusia menjadi lebih baik, bukan menakut-nakuti mereka dengan berbagai ancaman.

Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, individu yang ingin berdakwah perlu mempelajari kaedah yang betul bagi mengelakkan Islam dipandang serong.

“Kita telah diajar Islam untuk mengajak orang ke arah kebaikan dan melarang kemungkaran dengan berhemah. Jangan ekstrem dalam berdakwah takut nanti nampak keji.

“Kita boleh berdakwah tapi perlu kena dengan kaedah mendekati orang itu iaitu kita bersahabat dengan orang itu dan bercakap dengan penuh hikmah. Tidak bersifat paksaan tetapi lebih kepada toleransi dan kasih sayang agar orang lebih muda menerima dan beramal dengan Islam tanpa ada paksaan atau kekerasan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini tular rakaman video di media sosial, seorang lelaki bertindak memukul wanita di satu perhentian bas hanya kerana tidak menutup aurat dengan sempurna sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan-rakan mangsa.

Kejadian yang dirakam oleh salah seorang rakan mangsa dikatakan berlaku di sebuah hentian bas di Pulau Pinang dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Insiden tersebut turut dilaporkan media antarabangsa dan menimbulkan pandangan negatif mengenai orang Islam di negara ini.

Mengulas perkara tersebut, Mohd Izhar berkata, tidak ada manusia normal di dunia ini suka ditegur dengan cara kasar dan ditengking.

“Kita perlu tunjuk contoh baik agar Islam dapat dilihat dengan penuh keharmonian oleh semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pendekatan berdakwah dengan lebih terancang harus digunakan terhadap muslimah yang tidak menutup aurat.

Katanya, kesedaran untuk menutup aurat terutama berhijab adalah satu perkara yang baik namun sekiranya masih ada kekurangan dalam soal pemakaian, ia harus ditegur dan dinasihati dengan cara yang betul.

“Kita mahu mereka lebih terbuka hati untuk menuruti syariat Islam yang sebenar bukannya. Jadi tidak perlu kita mengecam jika cara mereka berpakaian masih tidak mengikuti apa yang dituntut agama,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *