Home » Langit Terbuka » Cadangan masjid dibuka kepada individu lengkap dua dos vaksin

Cadangan masjid dibuka kepada individu lengkap dua dos vaksin

Meskipun wujud cadangan membenarkan jemaah yang sudah lengkap dua suntikan vaksin Covid-19 ke masjid, namun mereka masih tertakluk kepada SOP seperti penjarakan dan sebagainya. - Foto Al Hijrah News

KOTA BHARU –  Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) supaya masjid dibuka kepada jemaah yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, ia berikutan individu lengkap dua dos suntikan vaksin berisiko lebih rendah daripada segi jangkitan wabak berkenaan.

“Dalam mesyuarat petang tadi, kita membuat cadangan supaya masjid dibuka kepada jemaah yang lengkap dua dos vaksin tanpa dikenakan had bilangan jemaah.

“Namun, ia masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) dari segi penjarakan fizikal dan sebagainya.

“Perkara ini akan diangkat kepada Maik sebelum perkara itu diputuskan secara rasmi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim, di sini pasdsa 10 Jun.

Pada masa sama, Dr Izani berkata, kerajaan negeri bercadang untuk membeli vaksin Covid-19 sekiranya dirasakan perlu bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), peringkat negeri.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah vaksin berkenaan bergantung kepada kewangan kerajaan negeri.

“Kita berdepan sedikit masalah daripada segi bekalan vaksin. Sepatutnya kita menerima 108,000 dos vaksin sebulan, namun dikurangkan kepada 27,000 dos vaksin.

“Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sudah menaikkan jumlah dos vaksin berkenaan daripada 27,000 dos kepada 60,000 dos vaksin sebulan.

“Untuk mempercepatkan suntikan vaksin, sekiranya dirasakan perlu membelinya, kita akan membelinya,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *