Home » Langit Terbuka » Cadangan sekatan bank suami liat bayar nafkah akan ke Kabinet

Cadangan sekatan bank suami liat bayar nafkah akan ke Kabinet

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan sedang memperinci pelaksanaan penguatkuasaan keadilan syariah yang memberi tumpuan kepada wanita yang diceraikan dan tidak mendapat pembelaan. - Foto You Tube

TELUK INTAN – Mekanisme untuk mengenakan tindakan lebih tegas termasuk sekatan bank terhadap lelaki yang liat memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak, akan dibawa ke Kabinet bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata perkara itu kini di peringkat akhir selepas pihaknya mendapatkan pandangan dari Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk kelulusan.

Katanya, penguatkuasaan tindakan itu dijangka dilaksanakan serta-merta tahun ini.

“Ini kerana mahkamah yang menumpukan soal tuntutan nafkah (isteri) dan anak ini juga ada kuasa ‘bail live’ bermakna ada kuasa penguatkuasaan kepada keputusan mahkamah yang dibuat tetapi tidak dilaksanakan.

“(Contohnya), (suami) boleh pergi ke bank beri surat tunjuk sebab atau boleh teliti harta yang dia ada supaya bekas suami dapat membayar tuntutan nafkah kepada bekas isteri dan anak seperti yang diperintahkan oleh mahkamah,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Islam Rahmatan ‘Lil Alamin di Dewan Rumah Rehat Teluk Intan di sini.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan bercadang untuk mengetatkan lagi peraturan berkaitan nafkah bagi mengekang lelaki atau suami yang culas melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Mujahid juga dilaporkan berkata, kerajaan sedang memperinci pelaksanaan penguatkuasaan keadilan syariah yang memberi tumpuan kepada wanita yang diceraikan dan tidak mendapat pembelaan.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata mekanisme itu bagi membolehkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah menggunakan kaedah seperti menuntut nafkah daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan akaun bank suami untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan setelah diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

“Kebanyakan wanita tidak ada tempat untuk mengadu dari segi penguatkuasaan. Jadi kita melihat keperluan penguatkuasaan kepada wanita yang tidak diberikan keadilan dari sudut nafkah yang sudah diputuskan Mahkamah Syariah,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *